Ibu bapa disyaki dera anak OKU hingga mati direman 7 hari

Ibu bapa disyaki dera anak OKU hingga mati direman 7 hari

Perintah reman itu bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

handcuff
Kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun itu meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Melaka, dipercayai akibat didera di sebuah rumah di Kota Laksamana. (Gambar Rawpixel)
MELAKA:
Sepasang suami isteri direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU) berusia sembilan tahun yang disyaki maut akibat didera.

Perintah reman terhadap ibu kandung dan bapa tiri mangsa, masing-masing berusia 36 dan 38 tahun, dikeluarkan oleh Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman di Mahkamah Majistret Ayer Keroh.

Perintah itu berkuat kuasa sehingga Isnin depan bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Semalam, media melaporkan kanak-kanak terbabit meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini, dipercayai akibat didera di kediaman mereka di Kota Laksamana.

Ketua Polis Melaka Tengah Christopher Patit berkata pihaknya menerima laporan pada pukul 10.15 pagi selepas dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa mangsa meninggal dunia pada jam 9.45 pagi.

“Doktor memaklumkan mangsa dihantar oleh bapa tiri dalam keadaan tidak sedarkan diri. Hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan serius termasuk patah kaki serta kesan lebam pada kepala dan beberapa bahagian badan.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai didera,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.