Hala tuju Muda bersama Syed Saddiq bergantung keputusan mahkamah esok

Hala tuju Muda bersama Syed Saddiq bergantung keputusan mahkamah esok

Mahkamah Rayuan akan memutuskan rayuan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya.

SYED SADDIQ COURT
Pada 9 Nov 2023 Syed Saddiq Syed Abdul Rahman disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas pertuduhan bersubahat dalam jenayah pecah amanah membabitkan RM1 juta serta penyelewengan dana RM120,000.
PETALING JAYA:
Perancangan dan hala tuju Muda bersama Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bergantung keputusan rayuan sabitan dan hukuman berkaitan kesalahan rasuah dihadapi Ahli Parlimen Muar itu di Mahkamah Rayuan esok.

Pemangku Presiden, Amira Aisya Abdul Aziz, berkata walaupun Syed Saddiq bukan lagi presiden sejak melepaskan jawatan pada 2023, beliau kekal sebagai tokoh penting dalam Muda kerana peranannya sebagai pengasas bersama dan wakil tunggal parti di Parlimen.

Amira Aisya Abdul Aziz.

“Perancangan Muda bersama Syed Saddiq pada masa akan datang sangat bergantung kepada keputusan mahkamah Rabu ini (esok).

“Kita tidak boleh pisahkan Syed Saddiq dan Muda secara keseluruhan kerana akhirnya apa yang Syed Saddiq bawa ke dalam dewan Parlimen masih perlu mencermin kepercayaan dan prinsip diperjuangkan parti,” kata kepada FMT.

Mengulas lanjut, Amira berkata Muda juga tidak bercadang melantik presiden baharu dalam masa terdekat kerana pemilihan parti akan diadakan tidak lama lagi.

“Buat masa ini, kita tidak ada apa-apa perkara mendesak untuk kita naikkan kembali jawatan itu dan kita akan biarkan ahli yang memilih,” katanya.

Amira berkata, keputusan mahkamah esok juga akan menjadi penentu sama ada Syed Saddiq ingin kembali aktif bertanding (sebagai presiden) dalam parti atau sebaliknya.

“Kalau semua berjalan lancar, itu adalah hak Syed Saddiq sendiri untuk menentukan sama ada beliau mahu bertanding semula atau tidak,” katanya, sambil menzahirkan harapan tiada lagi penangguhan dalam keputusan kes yang sudah lama dinantikan.

Pada 9 Nov 2023, Syed Saddiq disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas pertuduhan bersubahat dalam jenayah pecah amanah membabitkan RM1 juta serta penyelewengan RM120,000 membabitkan dana Pemuda Bersatu.

Bagi pertuduhan pecah amanah, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan rotan ke atasnya.

Syed Saddiq turut dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan satu lagi sebatan bagi kesalahan penyelewengan dana, serta tambahan hukuman penjara dua tahun bagi setiap kesalahan pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.