Bakar karikatur PM: Berani bukan bermakna harus hilang adab, tegur Akmal

Bakar karikatur PM: Berani bukan bermakna harus hilang adab, tegur Akmal

Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh juga sedia berjumpa pelajar yang tidak berpuas hati dengan tegurannya.

akmal saleh
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkata masyarakat harus marah apabila gambar pemimpin negara ‘diperlakukan begitu hina’. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda Umno menegur tindakan individu membakar karikatur Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dr Akmal Saleh berkata masyarakat harus marah apabila gambar pemimpin negara ‘diperlakukan begitu hina’, walaupun berlainan parti.

Akmal, dalam membidas ‘adik-adik mahasiswa’, berkata membakar gambar Anwar telah menonjolkan kekurangan pelaku.

“Berani bukan bermakna kita harus hilangkan adab sebagai manusia,” katanya di Facebook.

Perhimpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0 anjuran Suara Mahasiswa UMS di Kota Kinabalu pada Sabtu berakhir dengan pembakaran karikatur Anwar.

Tunjuk perasaan itu menyaksikan lebih 100 peserta berarak bagi memprotes pelbagai isu di Sabah.

Polis dilaporkan sedang menyiasat tindakan segelintir individu membakar karikatur Anwar itu.

Dalam pada itu, Akmal sedia berjumpa pelajar yang tidak berpuas hati dengan tegurannya.

“Boleh aturkan perjumpaan dengan saya… abang akan sampai untuk jumpa adik-adik depan-depan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.