
Fahmi berkata setakat ini SKMM telah membangunkan lima garis panduan berkaitan penguatkuasaan akta itu, manakala baki lima lagi akan dimuktamadkan selepas rundingan dengan pemain industri selesai.
“Kita belum kuat kuasa kerana terdapat 10 garis panduan yang perlu dibangunkan SKMM. Setakat ini, lima telah siap dan ada lima lagi yang sedang diuruskan, termasuk yang memerlukan perbincangan dengan pihak industri.
“Jadi, kita perlukan sedikit masa untuk menyiapkan semua garis panduan ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Hari Terbuka Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak di Angkasapuri.
Fahmi turut memaklumkan, beliau telah berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said bagi membentuk Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian.
“Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian di bawah beliau (Azalina) jadi saya tidak nampak sebarang masalah untuk jawatankuasa tersebut diwujudkan sementara kita menyiapkan garis panduan ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fahmi turut memaklumkan bahawa pihaknya, bersama Majlis Media Malaysia, akan turut membangunkan garis panduan berkaitan penggunaan kecerdasan buatan dalam bidang penyiaran.
Sebelum ini, Azalina berkata Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 akan dikuatkuasakan dalam masa terdekat selepas ia diluluskan di Dewan Rakyat pada Disember tahun lalu dan menerima perkenan serta pewartaan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Azalina berkata, pihaknya hanya menunggu arahan daripada Kementerian Komunikasi untuk menetapkan tarikh ia akan dikuatkuasakan.