Tular pemandu bas biadab; pandu berbahaya, Apad gantung lesen syarikat

Tular pemandu bas biadab; pandu berbahaya, Apad gantung lesen syarikat

Permit bas ekspres berkenaan turut dibatalkan berkuat kuasa Ogos, mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

bas dipandu merbahaya
Tular video memaparkan pemandu bas terbabit memandu secara berbahaya dan kurang sopan.
PETALING JAYA:
Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) menggantung lesen pengendali syarikat bas ekspres susulan video tular pemandunya didakwa memandu secara berbahaya dan bersikap kurang sopan terhadap pengguna jalan raya.

Menerusi kenyataan, Apad memaklumkan ia turut membatalkan permit bas berkenaan berkuat kuasa 7 Ogos, mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

“Apad memandang serius insiden yang tular baru-baru ini berkaitan cara pemanduan seorang pemandu bas ekspres yang didakwa telah memandu secara berbahaya dan laju di lorong sebelah kanan sehingga membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.

“Selaras peruntukan di bawah Seksyen 27 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) Apad menggantung lesen pengendali selama selama 30 hari, berkuat kuasa mulai 3 Julai hingga 1 Ogos dan pembatalan Permit Kenderaan ALA 6666 akan berkuat kuasa pada 7 Ogos,” katanya.

Katanya, sepanjang tempoh penggantungan tersebut, pengendali terbabit tidak dibenarkan mengendalikan atau menyediakan sebarang perkhidmatan menggunakan mana-mana kenderaan.

“Apad tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat atau pemegang lesen yang melanggar peraturan atau undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

“Seksyen 27 Akta 715 memperuntukkan tindakan penggantungan atau pembatalan lesen sekiranya berlaku pelanggaran terhadap mana- mana syarat Lesen Pengendali,” katanya.

Selain itu katanya, siasatan turut mendapati syarikat berkenaan gagal mematuhi peraturan termasuk berhubung kelakuan pemandu dan konduktornya.

“Ia juga melanggar Seksyen 23(1)(b) kerana kegagalan pekerjanya memberikan keutamaan tertinggi kepada keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya,” katanya.

Sebelum ini tular video pemandu bas ekspres yang memandu secara berbahaya hingga memberi risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.