Tiada usul minta kembalikan Hishammuddin dalam Umno, kata Azalina

Tiada usul minta kembalikan Hishammuddin dalam Umno, kata Azalina

Ketua penerangan Umno itu berkata, kepimpinan parti tidak terima sebarang usul tarik balik penggantungan bekas ketua Umno Sembrong.

Hishammuddin Hussein
Umno menggantung keahlian Hishammuddin Hussein selama enam tahun pada Januari 2023 kerana dikatakan melanggar Fasal 20.9 perlembagaan parti.
PETALING JAYA:
Umno belum menerima sebarang usul agar penggantungan enam tahun Hishammuddin Hussein ditarik balik, menurut Ketua Penerangan Azalina Othman Said.

Azalina berkata, semua bahagian Umno bebas membentangkan usul pada mesyuarat agung tahunan untuk menyampaikan pandangan mereka, termasuk mengenai penggantungan Hishammuddin.

“Semua bahagian boleh buat usul atau permohonan mereka … itu hak mereka. Umno ini seperti mana parti-parti politik,” katanya, lapor Berita Harian.

“(Tetapi) setakat ni saya tidak jumpa apa-apa permohonan (berhubung usul tarik balik penggantungan Hishammuddin) lagi. Mungkin dalam mesyuarat pengurusan (UMNO),” katanya.

Umno Sembrong dilapor meluluskan usul menggesa kepimpinan parti agar menerima semula Hishammuddin, bekas ketua bahagiannya.

Ketua Umno Johor Onn Hafiz Ghazi, yang merasmikan mesyuarat bahagian Sembrong pada hujung minggu lepas, berjanji akan membawa usul itu kepada pucuk pimpinan parti.

Umno menggantung keahlian Hishammuddin selama enam tahun pada Januari 2023. Media memetik surat penggantungan itu melaporkan beliau digantung kerana melanggar Fasal 20.9 perlembagaan parti, tanpa butiran lanjut.

Ahli Parlimen Sembrong itu sebelum ini berkata, beliau enggan merayu kerana tidak mengetahui sebab keahliannya digantung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.