Skandal perlombongan Sabah: Pembantu menteri bakal didakwa

Skandal perlombongan Sabah: Pembantu menteri bakal didakwa

Suspek yang juga Adun ditahan 9.30 pagi tadi kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah kira-kira RM150,000 berkait pengeluaran lesen cari gali di Sabah.

macc sprm
SPRM menyiasat Adun yang juga pembantu menteri terbabit di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.
PETALING JAYA:
Seorang pembantu menteri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah kira-kira RM150,000 berkait pengeluaran lesen cari gali di Sabah.

Sumber berkata Adun berusia dalam lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira 9.30 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah untuk siasatan di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Namun Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki yang mengesahkan tangkapan itu berkata suspek dibebaskan selepas keterangannya diambil dengan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin.

Tambahnya, suspek juga akan didakwa dalam masa terdekat.

Menurut sumber, pembantu menteri itu dipercayai melakukan perbuatan itu sekitar 2023 dan 2024.

“Siasatan juga mendapati suspek disyaki telah meminta dan menerima rasuah bernilai kira-kira RM150,000 daripada seorang individu berpangkat Datuk kononnya untuk membantu menguruskan permohonan lesen cari gali di negeri ini,” katanya.

Sebelum ini, Azam mengesahkan dua Adun Sabah antara tiga yang akan didakwa berkait skandal rasuah lesen perlombongan mineral.

Menurutnya, pertuduhan terhadap mereka akan dibuat bulan ini dan pihaknya sedang mendapatkan tarikh daripada mahkamah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.