
Penarafan kelulusan terkini kerajaan itu menandakan peningkatan 10% daripada 40% pada Jun tahun lepas.
Anwar memperoleh penarafan kelulusan 43% pada Jun tahun lepas, kemudian meningkat kepada 54% pada Disember.
Menurut laporan terbaru Merdeka Center, yang dikeluarkan untuk menandakan pertengahan penggal lima tahun pentadbiran Madani, rakyat mula merasakan kedudukan negara lebih mantap berikutan suatu tempoh ketidakstabilan politik.
“Rakyat mula merasakan negara akhirnya berada pada landasan yang lebih kukuh, dengan pergolakan politik mereda dan Anwar kini mengetuai kerajaan dengan majoriti dua pertiga di Parlimen.
“Reformasi institusi seperti Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 yang digubal semula turut menandakan kembalinya tadbir urus berprinsip,” menurut laporan itu, berdasarkan tinjauan yang dijalankan pada bulan lepas.
Faktor ekonomi memainkan peranan penting, tambahnya. Inflasi menurun kepada paras terendah dalam tempoh tiga tahun, iaitu 1.4% pada Mac, manakala Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 4.4% pada suku pertama.
Menurut laporan itu, langkah kerajaan menaikkan gaji minimum kepada RM1,700, menyediakan bantuan tunai kepada penjawat awam sempena perayaan, dan mengekalkan subsidi minyak nampaknya berjaya meredakan kebimbangan orang ramai berhubung kos sara hidup yang semakin meningkat.
Bagaimanapun, tinjauan itu mendapati, isu ekonomi harian masih paling dekat di hati rakyat.
“Rakyat masih paling prihatin tentang isu marhaen, bukan dasar atau ucapan luar,” menurut Merdeka Center.
Walaupun penglibatan antarabangsa Anwar, termasuk menerima kunjungan Presiden China Xi Jinping dan menjadi pengerusi Asean, meningkatkan profil diplomatik Malaysia, ia tidak banyak memberikan kesan terhadap sentimen pengundi, jika dibandingkan dengan isu tempatan.
Ketidakpuasan hati terhadap kerajaan persekutuan berada pada paras 48%, berbanding 58% setahun yang lalu, walaupun masih wujud kebimbangan subsidi dipotong dalam masa terdekat.
Mengenai hala tuju negara, 43% responden – meningkat daripada 29% pada Jun tahun lepas – percaya Malaysia menuju ke arah yang betul, manakala 50% masih percaya sebaliknya, turun daripada 61% setahun sebelumnya.
Tinjauan itu dijalankan dari 12 hingga 23 Mei, melibatkan 1,208 pengundi berdaftar merentas umur, etnik, jantina dan kawasan pilihan raya negeri.