P Pinang sekali lagi gesa Putrajaya pertimbang perkongsian hasil

P Pinang sekali lagi gesa Putrajaya pertimbang perkongsian hasil

Ketua menteri kata kerajaan persekutuan boleh kembalikan 10% kepada negeri, jika tidak 20%.

Chow Kon Yeow
Ketua Menteri Chow Kon Yeow kata Pulau Pinang perlukan sumber untuk program sosial dan kebajikan. (Gambar Johnshen Lee)
GEORGE TOWN:
Ketua menteri Pulau Pinang berkata kerajaan persekutuan harus mempertimbangkan secara serius permintaan supaya memberikan kepada negeri bahagian lebih besar daripada hasil, memandangkan Pulau Pinang main peranan besar dalam ekonomi negara.

Chow Kon Yeow berkata Putrajaya tidak terima cadangan awal supaya mengembalikan 20% hasil cukai yang dikutip daripada Pulau Pinang.

“Saya fikir sekarang masa yang sesuai untuk kerajaan persekutuan timbang dengan serius dan bukan hanya menolak. Jika tidak 20%, kita boleh mulakan dengan 10%,” katanya kepada pemberita di Komtar.

Chow berkata Pulau Pinang mengalu-alukan pembiayaan persekutuan untuk prasarana, namun ia juga memerlukan sumber untuk program sosial dan kebajikan.

Pada 19 Mei, Chow melaporkan kepada DUN bahawa kewangan Pulau Pinang berada di bawah tekanan, memetik unjuran defisit lebih RM100 juta.

Beliau menjelaskan kebanyakan hasil cukai daripada pelabur mengalir ke tabung persekutuan dan bukannya negeri, di sebalik persepsi bahawa Pulau Pinang sebuah negeri kaya.

Desakan Chow berhubung perkongsian hasil cukai jualan dan perkhidmatan timbul ketika Putrajaya digesa menangani ketidakseimbangan dalam perkongsian hasil antara kerajaan persekutuan dan negeri.

Beliau berkata Pulau Pinang penyumbang kedua tertinggi dalam pelaburan berkaitan pembuatan yang diluluskan pada suku pertama 2025, memperoleh RM6.7 bilion atau 22% daripada jumlah keseluruhan negara.

Chow berkata 90% daripada pelaburan dalam suku pertama 2025 adalah daripada sumber asing, didahului oleh Amerika Syarikat (RM2.4 bilion), Hong Kong (RM1.3 bilion), dan Taiwan (RM1.1 bilion), kebanyakannya dalam sektor elektrik dan elektronik serta jentera.

Beliau menambah Pulau Pinang terus menarik minat pelabur di sebalik ketidaktentuan global, termasuk pengumuman AS berkenaan tarif baru-baru ini.

Bagaimanapun, Chow berkata angka suku pertama itu berkemungkinan cerminan keputusan yang dibuat sebelum pengumuman AS, maka kesan sebenar hanya akan terlihat pada suku terkemudian.

“Angka kami pada suku pertama adalah kira-kira 40% daripada angka tahun lepas. Kami menjangkakan angka sama atau lebih baik daripada angka tahun lepas,” katanya, dan menambah jumlah pelaburan di Pulau Pinang pada 2024 mencecah RM17.3 bilion.

InvestPenang akan bertemu Intel

Ditanya tentang laporan mengatakan Intel menjedakan rancangan pengembangan di Pulau Pinang, Chow berkata InvestPenang akan bertemu pembuat cip itu “minggu ini atau depan” untuk mengetahui perkembangan terkini.

“Kemudahan itu hampir siap. Saya diundang melawat kemudahan itu beberapa bulan lalu untuk melihat kemajuannya. Kini kemajuannya lebih baik, hampir siap,” katanya.

Pada 2021, Intel mengumumkan pelaburan USD9 bilion (RM38.5 bilion) untuk membina kemudahan pembungkusan dan pengujian cip di Pulau Pinang, yang pertama seumpamanya di luar AS.

Bagaimanapun, syarikat itu menjedakan projek itu pada penghujung 2024, berikutan keputusan kewangan yang lemah dan pemotongan perbelanjaan modal.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz kemudian berkata beliau bertemu dengan Intel untuk membincangkan rancangan pelaburannya. Beliau berkata keberadaan Intel sejak 1972 mencerminkan keyakinan terhadap negara sebagai pangkalan utama di luar AS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.