1,501 kandungan eksploitasi seksual kanak-kanak dikesan, 94% diturunkan

1,501 kandungan eksploitasi seksual kanak-kanak dikesan, 94% diturunkan

SKMM dan polis ulang komitmen banteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak melalui penguatkuasaan dan kesedaran awam.

Tindakan menyebar, menyimpan atau mengkomersialkan kandungan eksploitasi seksual kanak-kanak merupakan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
PETALING JAYA:
Sejumlah 1,501 kandungan jelik dalam talian melibatkan eksploitasi seksual kanak-kanak dikesan setakat 15 Jun lalu dengan 94% berjaya diturunkan,

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis berkata, kandungan berjaya diturunkan hasil kerjasama penyedia platform digital susulan aduan awam.

“Pemantauan harian dan operasi seperti ‘Op Pedo’ yang dilaksanakan pada Disember 2024 turut membawa kepada penahanan 13 individu dan rampasan lebih 40,000 Bahan Penganiayaan Seksual Kanak-Kanak (CSAM) dari beberapa negeri,” menurut kenyataan itu.

Tindakan menyebar, menyimpan atau mengkomersialkan kandungan eksploitasi seksual kanak-kanak merupakan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). Pesalah boleh dikenakan hukuman denda hingga RM1 juta, penjara lima tahun atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, SKMM dan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) polis turut mengulangi komitmen untuk membanteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak secara menyeluruh melalui penguatkuasaan dan kesedaran awam.

“Sebagai pendekatan menyeluruh, SKMM turut mempergiatkan usaha kesedaran menerusi Kempen Internet Selamat (KIS) yang memfokuskan kalangan pelajar, ibu bapa dan juga komuniti.

“Salah satu objektif kempen ini (adalah) menekankan larangan pemilikan akaun sosial media oleh kanak-kanak yang berumur 13 tahun dan ke bawah,” katanya.

SKMM dan polis turut menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, pendidik, pemimpin komuniti, pemilik platform dan pengguna Internet agar bersama membanteras eksploitasi seksual kanak-kanak.

“Setiap laporan awam akan membantu siasatan dan mencegah lebih banyak penganiayaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.