Serangan ke atas Iran, PM desak hentikan keganasan

Serangan ke atas Iran, PM desak hentikan keganasan

Anwar Ibrahim bimbang peningkatan ketegangan jika membawa penutupan Selat Hormuz mengundang masalah besar kepada ekonomi dunia.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata pembabitan AS dalam konflik Iran-Israel menjadikan situasi bertambah keruh.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan konflik antara Iran dan Israel susulan tindakan Amerika Syarikat (AS) menyerang tiga tapak nuklear republik itu.

Anwar menekankan kepada pendamaian sebenar, dengan tekanan perlu dikenakan terhadap Israel supaya tidak bersikap provokatif terhadap negara lain.

“Bila serang, bunuh orang, itu tentu ada jawapan tindak balas daripada Iran. Kita ambil pendirian yang agak adil.

“Di Gaza terus dibunuh termasuk wanita dan anak-anak dan sekarang dia (Israel) serang Iran dan Iran putus untuk lawan. Dan sekarang bila ada campur tangan dari negara luar termasuk AS, bukankah lebih mengeruhkan,” katanya kepada pemberita di Kuching.

Anwar, yang juga menteri kewangan, mengingatkan masalah besar kepada ekonomi dunia jika Selat Hormuz ditutup.

“Dan bagi saya, yang paling penting ialah nyawa manusia dan keadilan.

“Katakan tidak memilih, sekurang-kurangnya ambil keputusan hentikan keganasan. Maknanya…(jika mendesak) jangan izinkan Iran tindak balas, tetapi kenapa izinkan Israel bertindak sebegitu rupa?” katanya.

Awal hari ini, Anadolu Ajansi melaporkan Presiden AS Donald Trump tentera AS melaksanakan serangan udara ‘sangat berjaya’ ke atas tiga tapak nuklear Iran di tengah-tengah kebimbangan terhadap tercetusnya konflik lebih meluas di rantau itu.

Trump berulang kali mengancam untuk mengambil tindakan ketenteraan terhadap Tehran dan menegaskan bahawa AS tidak akan membenarkan Iran memperoleh senjata nuklear, sesuatu yang berulang kali dinafikan Iran.

Dalam ucapan kira-kira tiga minit, Trump berkata masa depan Iran hanya mempunyai dua kemungkinan ‘sama ada keamanan atau tragedi’ dan terdapa banyak lagi sasaran lain yang boleh diserang tentera AS.

Kumpulan Houthi di Yaman menyatakan mereka akan menyasarkan kapal dan kapal perang Amerika Syarikat di Laut Merah sekiranya pentadbiran Trump terlibat dan terus menyokong serangan Israel terhadap Iran, menurut satu kenyataan disiarkan di akaun rasmi Telegram jurucakap Houthi.

Ketua Pegawai Eksekutif Shell Plc, Wael Sawan, dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik Aziz, sebelum ini memberi amaran mengenai kejutan besar terhadap perdagangan global dan harga minyak susulan peningkatan konflik di sekitar Selat Hormuz, laluan transit utama dunia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.