Premium naik seiring usia, pakar khuatir simpanan pencarum tak mampu bertahan

Premium naik seiring usia, pakar khuatir simpanan pencarum tak mampu bertahan

Dr Sharifa Ezat Wan Puteh dari UKM berkata kemungkinan simpanan KWSP untuk membayar premium insurans semakin berkurang dan habis selepas sekian lama.

KWSP EPF
Sebelum ini Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata kerajaan pertimbang membenarkan Akaun 2 KWSP digunakan untuk membiayai premium bulanan insurans kesihatan.
PETALING JAYA:
Pakar khuatir simpanan pencarum dalam Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak mampu bertahan sehingga usia emas jika dibenarkan bagi tujuan pembiayaan premium bulanan insurans kesihatan.

Dr Sharifa Ezat Wan Puteh dari Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, walaupun premium dapat memudahkan akses kesihatan serta mengurangkan beban pesakit, ia adalah berterusan malah nilainya semakin meningkat dengan risiko kesihatan dan umur.

Dr Sharifa Ezat Wan Puteh
Dr Sharifa Ezat Wan Puteh.

“Maka, ada kemungkinan simpanan (KWSP) untuk membayar premium insurans akan berkurang setelah sekian lama. Akhirnya rakyat akan bergantung semula kepada subsidi kesihatan kerajaan seperti sedia kala.

“Inisiatif ini suatu niat yang baik. Tetapi ia sangat bergantung kepada jumlah simpanan (KWSP), jumlah premium yang hendak dilanggan serta bil tahunan premium dibayar,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, CEO Pusat Galen bagi Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Khalib, berpendapat lebih baik pencarum menggunakan pendekatan ‘tambah sumbangan’ berbanding menggunakan 1% daripada simpanan KWSP untuk tujuan tersebut.

Azrul Khalib.

“Mungkin 0.5% daripada gaji kasar. Ini bermakna sekarang kadar caruman bagi pekerja ialah 11% , maka sumbangan KWSP akan menjadi 11.5% dan majikan pula 13.5%.

“Cara ini lebih mampan dan adil,” katanya memaklumkan penggunaan simpanan bagi tujuan itu perlu dielak.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata kerajaan pertimbang membenarkan Akaun 2 KWSP digunakan untuk membiayai premium bulanan insurans kesihatan.

Katanya, ia hanya melibatkan 1% daripada simpanan itu bagi pembayaran insurans, dan 16 juta ahli KWSP berpeluang menikmati rawatan hospital swasta menggunakan caruman sendiri, sebagaimana dilaksanakan beberapa negara lain.

Dzulkefly menjelaskan, skim itu tidak wajib sebaliknya dilaksanakan secara sukarela.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.