
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan komited menyediakan sokongan penuh serta memastikan persekitaran yang kondusif untuk pelaburan berkualiti tinggi.
“Terima kasih Google atas kepercayaan berterusan terhadap Malaysia. Bersama-sama kita membina masa depan digital yang lebih cerah,” katanya di Facebook.
Tengku Zafrul yang kini dalam lawatan kerja ke Washington, Amerika Syarikat, mengadakan pertemuan dengan wakil Google bagi membincangkan komitmen syarikat itu dalam memperkukuhkan keselamatan siber dan melabur dalam kemahiran digital.
Google sebelum ini mengumumkan pelaburan strategik bernilai RM9.4 bilion bagi mewujudkan pusat data dan wilayah awan pertama di Malaysia.
Pelaburan itu dijangka menjana impak ekonomi jangka panjang sebanyak RM15.04 bilion serta mewujudkan 26,500 peluang pekerjaan menjelang 2030.