Lantikan Nurul Izzah, Saifuddin beri kelebihan kepada PKR, kata Fahmi

Lantikan Nurul Izzah, Saifuddin beri kelebihan kepada PKR, kata Fahmi

Ketua penerangan PKR berkata pemimpin terbabit pernah pikul tanggungjawab pengarah pilihan raya selain masing-masing mempunyai kekuatan.

nurul izzah n saifuddin nasution
Nurul Izzah Anwar dan Saifuddin Nasution Ismail dilantik sebagai pengarah pilihan raya bersama PKR.
KUALA LUMPUR:
Pelantikan Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) Saifuddin Nasution Ismail sebagai pengarah pilihan raya bersama disifatkan mampu memberikan kelebihan kepada PKR dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, berkata kedua-dua pemimpin itu pernah memikul tanggungjawab berkenaan sebelum ini, selain masing-masing mempunyai pengalaman serta kekuatan dalam merangka strategi parti.

“Kedua-duanya pernah memikul tugas tersebut dan dalam keadaan ini, ia memberikan kelebihan kepada PKR kerana mereka saling melengkapi dan mempunyai kekuatan tersendiri.

“Jadi, saya lihat ini satu impak positif kepada PKR, Pakatan Harapan dan kerajaan perpaduan,” katanya kepada pemberita pada Karnival Kita Madani peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di IWK Eco Park, Lembah Pantai.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Julina Johan.

Fahmi Fadzil pada Karnival Kita Madani peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di IWK Eco Park, Lembah Pantai.

Semalam, Fahmi yang juga menteri komunikasi dalam kenyataan memaklumkan pelantikan Nurul Izzah dan Saifuddin bagi jawatan itu diputuskan dalam mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Mesyuarat berkenaan turut bersetuju melantik semula Fahmi sebagai ketua penerangan PKR, manakala Fuziah Salleh dan William Leong kekal memegang jawatan masing-masing sebagai setiausaha agung dan bendahari agung PKR.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.