
Timbalan Setiausaha Agung GRS, Armizan Mohd Ali, berkata ia bagi memastikan hubungan persekutuan dan negeri bersifat antara kerajaan (inter-governmental), bukan berlandaskan parti (intra-party).
Menurutnya, model berkenaan dipercayai lebih berkesan sekiranya rundingan melibatkan kepentingan negeri diperlukan melalui forum antara dua pentadbiran kerajaan – persekutuan dan negeri.
“Sekiranya parti sama iaitu parti nasional menjadi teras kepada kedua-dua peringkat kerajaan, kecenderungan berlaku isu melibatkan kepentingan negeri akan dirundingkan dalam ruang lingkup dalaman parti terlebih dahulu.
“Apabila agenda dan kepentingan negeri diputuskan secara intra-parti, sudah pasti risiko yang berlaku adalah kepentingan parti akan diutamakan membelakangi kepentingan negeri.
“Lebih dikhuatiri ada indoktrinasi sesetengah parti politik nasional yang meletakkan kesetiaan kepada parti mengatasi segala-galanya, tanpa kompromi,” katanya ketika berucap merasmikan persidangan tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Darau.
Minggu lalu, Ketua Menteri Hajiji Noor mengulangi pendiriannya bahawa parti tempatan harus memimpin dan mendominasi politik Sabah.
Hajiji memperakui kerjasama dengan parti nasional namun bertegas kawalan politik harus di tangan rakyat Sabah.
Sokong parti nasional di pusat
Mengulas lanjut, Armizan yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup mendakwa ada ketika isu negeri disenyapkan kerana pendirian parti nasional mengutamakan kepentingan nasional.
“Contohnya, inilah yang telah berlaku dalam isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sejak berpuluh tahun. Kita melihat ada perubahan komitmen signifikan persekutuan berhubung MA63 di bawah pimpinan Anwar Ibrahim kini.
“Namun, kita tidak boleh bergantung kepada cara dan sikap kepimpinan individu, tetapi perlunya struktur yang kondusif,” katanya.
Beliau berpendapat kepentingan negeri akan sentiasa mendapat keutamaan sekiranya ada struktur yang menjamin bahawa hubungan persekutuan dan negeri akan bersifat ‘inter-governmental’, dan bukannya intra-parti.
Armizan berkata GRS akan menyokong parti nasional di peringkat persekutuan, namun mahu parti tempatan diberi ruang menjadi teras kerajaan negeri dan bertanding lebih banyak kerusi pada PRN.
“Kamu (parti nasional) pimpinlah persekutuan dan kita akan sokong dan beri kerjasama, dan biar parti lokal memimpin negeri.
“Model inilah yang sedia memaknai bentuk kerjasama dalam kerajaan GRS+PH Plus hari ini,” katanya, sambil menambah formula itu juga nanti akan membentuk kerajaan di Putrajaya dan memilih perdana menteri dari parti nasional.
Komponen GRS terdiri daripada PGRS, Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS).