Cikgu derita dalam diam akibat budaya toksik sekolah

Cikgu derita dalam diam akibat budaya toksik sekolah

NUTP berkata guru yang bergelut masalah kesihatan mental sering elak dapatkan bantuan kerana ketakutan menyebabkan keadaan bertambah teruk.

cikgu mengajar
Kesatuan berkata ramai guru yang mengalami masalah kesihatan mental menderita dalam diam kerana takut dihakimi malah dibuang kerja.
PETALING JAYA:
Ramai guru mengalami masalah kesihatan mental kerana terbeban secara emosi akibat pentadbir sekolah yang toksik, peningkatan tuntutan digital dan gangguan daripada ibu bapa, kata Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).

Mengulas laporan mengenai guru yang mengalami kemurungan dan skizofrenia baru-baru ini, Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon, berkata semakin ramai guru berasa terasing dan tidak mendapat sokongan, menyifatkan situasi itu sebagai kritikal.

Katanya, guru yang bergelut dengan masalah kesihatan mental sering mengelak daripada mendapatkan bantuan kerana ketakutan ini, menyebabkan keadaan mereka bertambah teruk.

“Ramai yang menderita dalam diam kerana takut dihakimi atau dibuang kerja,” katanya memaklumkan sesetengah pentadbir sekolah gagal menangani kes sebegini dengan penuh sensitiviti atau profesionalisme.

Seorang aktivis pendidikan pula berkata, keletihan melampau dalam kalangan guru mesti dilihat sebagai isu sistemik dan bukan kelemahan peribadi.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Rahim, berkata kemampuan guru untuk membimbing pelajar akan terjejas teruk apabila mereka dibebani kerja berlebihan, keletihan emosi atau menjadi mangsa kepimpinan toksik dan gangguan.

Katanya, pemimpin sekolah tidak sepatutnya dipilih berdasarkan kelayakan akademik semata-mata, tetapi perlu mengambil kira kecerdasan emosi dan keupayaan yang terbukti dalam mewujudkan persekitaran inklusif dan empati.

“Kita perlu mewujudkan ruang selamat untuk guru bersuara. Hanya dengan itu kita boleh membina semula kepercayaan terhadap sistem. Kepercayaan terus terhakis oleh dasar yang kurang teliti, terutama desakan terhadap pendigitalan yang meningkatkan beban kerja guru.

“Ramai guru dijangka mengadaptasi sistem baharu tanpa diberikan alat atau latihan sewajarnya, dan ini menambah tekanan mereka.” katanya.

Azimah berkata, sebarang pelan pendidikan negara mesti meletakkan guru sebagai keutamaan, dengan fokus kepada tahap kesediaan, akses mencukupi dan konsultasi yang bermakna.

Baik NUTP mahupun PAGE menyeru Kementerian Pendidikan segera menyemak semula dasar pengurusan sekolah dan menyediakan sokongan kesihatan mental sewajarnya bagi mengelakkan guru mengalami keletihan melampau.

Selasa lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin, berkata seorang guru yang tidak hadir bertugas sejak September 2024 dan mayatnya ditemui reput di rumahnya pada 12 Jun, dipercayai pernah mengalami kemurungan.

Pada Khamis, Ketua Polis Perak, Noor Hisam Nordin, berkata guru yang didakwa membuat hantaran jelik berhubung nahas bas di Gerik yang meragut nyawa 15 penuntut universiti, dipercayai mengalami masalah psikiatri.

Guru itu dilaporkan membuat permohonan maaf secara terbuka minggu lalu dan mendakwa menghidap skizofrenia. Noor Hisam berkata polis merakam keterangannya dan sedang menunggu laporan perubatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.