
Pengerusi Umno Johor, Onn Hafiz Ghazi yang berucap ketika merasmikan mesyuarat itu juga berjanji untuk membawa usul berkenaan kepada peringkat kepimpinan tertinggi Umno, lapor Utusan Malaysia.
“Sembrong ini bukan sekadar kawasan politik, ia tempat saya mula belajar dan mengenal erti perjuangan. Dan orang yang membawa saya ke sini ialah Hishammuddin.
“Saya dimaklumkan ada usul supaya pucuk pimpinan Umno mempertimbangkan semula untuk menerima beliau kembali di peringkat Umno Bahagian Sembrong. Insya-Allah sebagai pengerusi Umno Johor, saya akan bawa usul ini ke peringkat tertinggi,” katanya yang dipetik sebagai berkata.
Beliau yang juga menteri besar berkata, usul yang dikemukakan itu mencerminkan penghargaan ahli akar umbi Umno terhadap kepimpinan Hishammudin.
Pada 2023, Hishammuddin yang pernah menjadi naib presiden Umno bersama bekas ketua penerangan, Shahril Hamdan digantung keahlian selama enam tahun.
Bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pula dipecat parti atas dakwaan melakukan sabotaj pada kempen PRU15.
Pada Disember tahun lalu, ada gesaan supaya tiga pemimpin terbabit kembali ke dalam Umno selepas Majlis Kerja Tertinggi menarik balik penggantungan keahlian bekas Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman.
Presiden Umno Zahid Hamidi dilaporkan berkata parti sedia menerima sesiapa sahaja termasuk Khairy dan Hishamuddin namun perlu mencontohi Tajuddin yang membuat rayuan.