

Beliau berkata, tren tersebut kini berada dalam fasa akhir ujian yang akan selesai tidak lama lagi.
“Jika semua berjalan lancar seperti dirancang, kita akan menyambung semula perkhidmatan Aerotrain pada 1 Julai,” katanya pada sidang media di Terminal 1 KLIA.
Perkhidmatan Aerotrain digantung pada Mac 2023 bagi kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan selepas mengalami beberapa kerosakan, dijangka disambung semula pada suku kedua tahun ini.
Ia menjadi tulang belakang kepada sistem pengangkutan dalaman KLIA sejak 1998.
Loke berkata, tiga tren masing-masing mampu membawa 270 penumpang akan beroperasi antara Terminal 1 KLIA dan bangunan satelit, kebanyakannya untuk ketibaan dan pelepasan antarabangsa.
Dua tren akan beroperasi sepanjang hari manakala satu antara tengah malam hingga 5 pagi.
Beliau berkata, perkhidmatan bas pengantara yang diperkenalkan selepas gangguan perkhidmatan Aerotrain pada 2023 akan dikekalkan sehingga diberitahu kelak.
Loke mengakui pengoperasian semula perkhidmatan Aerotrain telah melebihi jangka masa yang diumumkan pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd dan Kementerian Pengangkutan, namun menjelaskan kelewatan itu disebabkan peraturan keselamatan ketat ditetapkan kementerian.
“Keselamatan penumpang adalah keutamaan, jadi kami tidak membenarkan perkhidmatan ini disambung semula sehingga kami berpuas hati dengan hasil penilaian keselamatan,” katanya.