
Justeru, Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan berkata tiada sebab untuk berlaku sebarang kenaikan harga gula bertapis selepas kerajaan mengambil pendekatan bersasar dengan tidak mengenakan cukai ke atas barangan keperluan asas rakyat.
MOF menegaskan perkara itu susulan kenyataan MSM Malaysia Holdings Berhad semalam yang membangkitkan kebimbangan berhubung kesan cukai jualan ke atas gula mentah terhadap harga pasaran.
MSM Malaysia merupakan salah satu daripada dua penapis gula utama di negara ini, selain Central Sugars Refinery Sdn Bhd.
Menurut MOF, kerajaan mengecualikan cukai beberapa barangan asas seperti gula, garam, ayam, telur, daging, ikan, sayur-sayuran, minyak masak dan beras bertujuan memastikan rakyat terbanyak tidak terkesan dengan semakan semula SST.
Bagaimanapun, MOF berkata gula mentah yang digunakan dalam proses pengeluaran gula halus akan dikenakan cukai jualan sebanyak 5%.
“Namun begitu, seperti yang telah diumumkan sebelum ini, pengilang seperti MSM layak memohon pengecualian cukai ke atas bahan mentah dan input mereka.
“Oleh itu, tiada sebab untuk berlaku sebarang kenaikan harga gula bertapis — lebih-lebih lagi kerana penapis gula seperti MSM terus menerima insentif bulanan daripada kerajaan bagi memastikan kestabilan bekalan dan harga,” kata kenyataan itu.
MOF turut menjelaskan penapis dan pengilang gula boleh memohon pengecualian cukai menerusi Jabatan Kastam, seperti diperuntukkan di bawah Butiran 1, Lajur (2), Jadual B dalam Perintah Cukai Jualan (Orang Yang Dikecualikan daripada Pembayaran Cukai).