
Seperti dibangkitkan oleh Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) dan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), cabaran seperti kekurangan bakat dan terlalu banyak kerenah birokrasi perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum negara boleh mencapai matlamat untuk berada dalam kelompok 12 ekonomi teratas dunia menjelang 2033.
Presiden MEF, Syed Hussain Syed Husman, berkata Malaysia masih menghadapi jurang struktur dalam pelbagai bidang.

“Kita lemah dalam inovasi, bakat dalam kecerdasan buatan (AI) dan analitik data masih cetek, dan kita lambat dalam penggunaan automasi dan keselamatan siber,” katanya kepada FMT.
Beliau turut menyatakan bahawa masih wujud ketidakpadanan berterusan antara kemahiran graduan universiti dan keperluan industri.
“Kita mesti tangani isu ini sekarang jika kita benar-benar serius mahu bersaing dengan negara-negara terbaik dunia,” katanya.
Dalam senarai World Competitiveness Ranking 2025 yang dikeluarkan minggu ini oleh International Institute for Management Development (IMD), Malaysia berada di tangga ke-23, naik 11 anak tangga berbanding tahun sebelumnya.
Sebanyak 69 negara dinilai dalam tinjauan IMD, berdasarkan lima bidang tumpuan strategik utama, iaitu pembangunan tenaga kerja, penggunaan digital dan AI, penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dipacu sektor swasta, reformasi peraturan, dan daya tahan rantaian bekalan.
Switzerland menduduki tempat pertama, diikuti oleh Singapura dan Hong Kong di tempat ketiga.
Mengulas lanjut mengenai kegagalan sistem pendidikan menghasilkan graduan yang memenuhi keperluan industri, Syed Hussain berkata banyak modul latihan sudah lapuk dan gagal mengikuti perkembangan sektor yang pesat berubah.
Antara sektor yang terkesan termasuk AI, keselamatan siber, teknologi kewangan (fintech), tenaga boleh diperbaharui dan e-dagang.
Beliau berkata, penyumbang kepada perkara itu adalah penglibatan majikan yang tidak mencukupi dalam pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) serta program latihan Perbadanan Sumber Manusia (HRD Corp).
“Ekosistem pembangunan kemahiran juga berpecah-pecah antara kementerian dan agensi, menyebabkan ia tidak berkesan,” tambahnya.
Akibatnya, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terus berdepan kesukaran untuk mengautomasikan operasi, disebabkan kos awal yang tinggi dan kurang kesedaran tentang pulangan pelaburan.
Mengenai transformasi digital, Syed Hussain berkata perniagaan di luar kawasan bandar masih berdepan halangan seperti akses internet berkelajuan tinggi dan liputan 5G yang lemah. Dalam masa yang sama, bakat dalam AI, analitik data dan keselamatan siber masih terhad.
“Malaysia berdepan jurang berterusan dalam bidang teknologi yang mempunyai permintaan tinggi, menyebabkan kita bergantung kepada kepakaran asing,” katanya.
Beliau berkata R&D di Malaysia masih didorong oleh kerajaan, manakala pulangan komersial yang rendah menjadi penghalang kepada penyertaan sektor swasta.
Tambah beliau, kebergantungan Malaysia kepada sektor pembuatan margin rendah juga menyebabkan ia terdedah kepada kejutan perdagangan global.
“Banyak syarikat tempatan kekurangan skala, pensijilan atau akses kepada pembiayaan yang diperlukan untuk menembusi pasaran asing,” katanya sambil menambah bahawa infrastruktur logistik juga diperlukan untuk mempelbagaikan perdagangan.
Pembaharuan berkesan tetapi mesti diteruskan
Pengerusi Samenta, William Ng, berkata walaupun beliau menyambut baik kedudukan Malaysia yang meningkat dalam penarafan IMD, beliau menegaskan ini bukan masa untuk berasa selesa.

Katanya, dasar yang konsisten, sokongan R&D yang lebih baik, dan penyertaan lebih besar sektor swasta diperlukan untuk Malaysia menembusi kelompok 12 ekonomi terbaik dunia menjelang 2033.
Ng memuji inisiatif baru-baru ini seperti Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) dan penubuhan Pasukan Petugas Kecekapan Perniagaan sebagai penyumbang kepada momentum positif.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa cabaran lama masih wujud, khususnya dalam memastikan dasar negara tidak kerap berubah dan mengurangkan kerenah birokrasi yang membebankan perniagaan.
Ng berkata kedudukan Malaysia yang kini mengatasi Thailand, Indonesia dan Filipina menunjukkan pembaharuan mula membuahkan hasil, namun ia perlu diteruskan dan disokong melalui pendekatan menyeluruh di peringkat negara.
“Kerajaan tidak boleh melaksanakan pembaharuan ini secara bersendirian. Perniagaan, termasuk PKS kita, mesti menaikkan nilai tambah mereka supaya Malaysia menjadi lebih berdaya saing dan memastikan ekonomi negara bersedia untuk masa depan,” katanya.