
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, rakyat tidak mahu melihat kes itu berlalu begitu saja atas kegagalan pendakwa raya menyediakan bukti disebabkan kaitannya dengan skandal SRC International Sdn Bhd.
“Saya tidak faham kenapa pihak pendakwa raya mengambil masa begitu lama (sejak 2019) untuk menyiapkan dokumen diperlukan untuk memulakan kes?
“Daripada pengalaman saya mengkaji dan mendedahkan skandal 1MDB dan SRC sebelum ini, penyelewengan melibatkan SRC yang mempunyai bukti aliran tunai lebih jelas,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas tanpa membebaskan Najib dalam kes pengubahan wang haram RM27 juta dana SRC International.
Hakim K Muniandy dilaporkan berkata, tiada apa-apa menunjukkan pihak pendakwaan mampu meneruskan kes buat masa ini atau dalam tempoh masa munasabah.
Katanya, dalam tempoh enam tahun sejak kes itu difailkan terhadap Najib pada 2019, tiada keterangan saksi dikemukakan, sebaliknya hanya penangguhan demi penangguhan yang menunjukkan pihak pendakwaan belum bersedia memulakan kes.
“Sebaik sahaja tertuduh didakwa di mahkamah, pertuduhan itu tidak boleh dibiarkan tergantung untuk tempoh tidak menentu atau tanpa had. Itu sesuatu yang zalim dan tidak sah.”
Keputusan itu menyusul penghujahan peguam Shafee Abdullah minggu lalu, tidak adil untuk Najib menunggu selama-lamanya bagi tarikh perbicaraan tetap kerana pihak pendakwaan tidak dapat menyediakan garis masa untuk mengumpul eksibit digunakan dalam perbicaraan SRC International sebelum ini.
Rafizi berkata, beliau menghormati hak Najib memohon DNAA, tetapi menggesa pihak pendakwaan mengesahkan sama ada Jabatan Peguam Negara akan memfailkan semula pertuduhan terhadap bekas perdana menteri itu secepat mungkin.
“Sebagai Ahli Parlimen, saya akan mengikuti perkembangan kes ini dengan dekat agar ia tidak tercicir daripada pandangan awam.”