
Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak mencampuri perkara itu.
“Saya tak nak masuk campur, itu soal (kuasa) hakim…itu soal peguam negara,” katanya kepada pemberita selepas solat Jumaat di Masjid Kampung Seri Aman.
Terdahulu, Hakim K Muniandy membuat keputusan itu dengan berkata tiada apa-apa yang menunjukkan pihak pendakwaan mampu meneruskan kes buat masa ini, atau dalam tempoh munasabah.
Muniandy turut memaklumkan sejak enam tahun lalu, kes difailkan terhadap Najib pada 2019, tiada sebarang keterangan saksi dikemukakan sebaliknya hanya deretan penangguhan berlaku – menunjukkan pendakwaan masih belum bersedia untuk memulakan kes.
Minggu lalu, peguam Najib, Shafee Abdullah, berhujah tidak adil untuk anak guamnya menunggu tanpa tempoh yang jelas bagi tarikh perbicaraan, memandangkan pihak pendakwaan gagal memberikan garis masa untuk mengumpulkan barang kes digunakan dalam perbicaraan SRC sebelum ini.
Mahkamah dimaklumkan sebanyak 807 barang kes dikemukakan dalam perbicaraan terdahulu berkaitan SRC.
Najib, 71, memohon tiga pertuduhan pengubahan wang haram dikemukakan terhadapnya pada Februari 2019 digugurkan.