Kerajaan komited kurang hutang negara berperingkat, kata Anwar

Kerajaan komited kurang hutang negara berperingkat, kata Anwar

Perdana menteri berkata usaha berterusan dilakukan untuk menurunkan kadar defisit fiskal negara daripada 5.5% pada 2022 kepada unjuran terbaharu 3.8% tahun ini.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata jumlah hutang negara mula berkurangan daripada RM100 bilion pada 2022 kepada RM85 bilion tahun lalu dan unjuran tahun ini RM80 bilion.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengulangi komitmen kerajaan untuk terus mengurangkan hutang negara secara berperingkat sambil memastikan pembangunan dan keyakinan pelabur tidak terjejas.

Sejak mengambil alih pentadbiran pada 2022, katanya, usaha berterusan dilakukan untuk menurunkan kadar defisit fiskal negara daripada 5.5% kepada unjuran terbaharu 3.8% tahun ini.

“Ada orang tanya mengapa hendak turun sangat ini, biarlah kita serahkan hulur kepada rakyat. Tetapi, kalau tidak begini, keyakinan tidak akan ada. Bagi saya, yang pertama tanggungjawab kepimpinan dan pengurusan ekonomi untuk melaksanakan dasar yang kita yakin baik, itu yang penting.

“Kedua, dengan itu, ada keyakinan. Bila ada keyakinan, dia menyelesaikan banyak masalah soal hasil negara, soal peluang pekerjaan, soal pembangunan keseluruhannya,” katanya pada perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya.

Mac lalu, Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata, kerajaan terus komited dalam usaha mengurangkan defisit fiskal dengan unjuran 3.8% pada 2025, sejajar komitmen utama kerajaan mengurangkan kadar defisit secara berperingkat dan konsisten daripada 5.5% pada 2022 kepada 5% pada 2023 dan seterusnya 4.1% tahun lalu.

Pengurangan defisit itu, katanya, akan menurunkan pertumbuhan jumlah hutang dengan pengurangan pinjaman hutang baharu setiap tahun oleh kerajaan, iaitu daripada hampir RM100 bilion pada 2022 kepada RM92.6 bilion pada 2023 dan sekitar RM77 bilion tahun lalu.

Sementara itu, Anwar menolak dakwaan kerajaan terlalu menekan isu pengurangan hutang sehingga menjejaskan kebajikan rakyat, sebaliknya ia perlu dilihat sebagai strategi jangka panjang yang memerlukan pengurusan berhemah dan berperingkat.

Menurutnya, jumlah hutang negara mula menurun dari 2022 (RM100 bilion), 2023 (RM90 bilion), 2024 (RM85 bilion) dan unjuran tahun ini adalah RM80 bilion.

“Maknanya, sejak kita ambil alih, kita sudah turun hutang RM20 bilion.”

Beliau yang juga menteri kewangan turut mengingatkan penyelesaian hutang negara tidak boleh dilakukan secara mendadak kerana ia memerlukan masa dan kesabaran.

“Dia macam seorang ambil alih syarikat yang dikenali, bapa dia meninggal dunia, anak dia ambil alih. Hutangnya RM50,000, jadi anak dia esok ambil satu tahun selesaikan hutang, tidak boleh, dia perlu selesaikan secara berperingkat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.