
Ketua Penerangan Umno Kedah, Shaiful Hazizy Zainol Abidin, mendakwa keputusan itu jelas memperlihatkan pendakwaan yang dikenakan kepada bekas perdana menteri dilakukan secara tergesa-gesa dan tidak melalui proses siasatan serta penelitian menyeluruh.
“Ia memberi gambaran kukuh bahawa unsur tekanan politik dan campur tangan luar mungkin telah mempengaruhi proses pendakwaan, sekali gus mencetuskan persoalan besar terhadap integriti sistem keadilan jenayah negara,” katanya dalam kenyataan.
Justeru, beliau berkata sudah tiba masa sistem perundangan melakukan reformasi menyeluruh khususnya dalam aspek semak dan imbang serta pengukuhan perlindungan undang-undang terhadap individu daripada pendakwaan bersifat politik atau bermotifkan dendam.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan prinsip ‘rule of law’ bukan sekadar retorik, tetapi benar-benar diamalkan secara telus, adil dan konsisten, demi memelihara kewibawaan institusi kehakiman serta keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.
“Kami tidak akan goyah dengan tekanan atau persepsi luar sebaliknya, Umno akan terus memimpin usaha memastikan keadilan ditegakkan secara tuntas dan sistem perundangan negara tidak disalah guna untuk tujuan politik.
“Umno akan terus konsisten memperjuangkan keadilan, menentang pendakwaan selektif dan mempertahankan institusi negara agar sentiasa berpaksikan prinsip undang-undang, bukan kepentingan kuasa,” katanya.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi K Muniandy membuat keputusan itu dengan berkata tiada apa-apa yang menunjukkan pihak pendakwaan mampu meneruskan kes buat masa ini, atau dalam tempoh munasabah.
Muniandy turut memaklumkan sejak enam tahun lalu, kes difailkan terhadap Najib pada 2019, tiada sebarang keterangan saksi dikemukakan sebaliknya hanya deretan penangguhan berlaku – menunjukkan pendakwaan masih belum bersedia untuk memulakan kes.
Minggu lalu, peguam Najib, Shafee Abdullah, berhujah tidak adil untuk anak guamnya menunggu tanpa tempoh yang jelas bagi tarikh perbicaraan, memandangkan pihak pendakwaan gagal memberikan garis masa untuk mengumpulkan barang kes yang digunakan dalam perbicaraan SRC sebelum ini.
Mahkamah dimaklumkan sebanyak 807 barang kes dikemukakan dalam perbicaraan terdahulu berkaitan SRC.
Najib, 71, memohon tiga pertuduhan pengubahan wang haram dikemukakan terhadapnya pada Februari 2019 digugurkan.