Shafie nafi tuduhan lupus hutang RM178 juta syarikat kroni

Shafie nafi tuduhan lupus hutang RM178 juta syarikat kroni

Mohd Shafie Apdal tegaskan tiada satu pinjaman tidak berbayar dilupuskan semasa beliau menjadi ketua menteri dan pengerusi SDB.

Shafie Apdal
Mohd Shafie Afdal mahu ambil tindakan undang-undang terhadap pihak memfitnahnya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal menafikan dakwaan beliau melupuskan pinjaman tidak berbayar (NPL) RM178 juta kepada sebuah syarikat semasa mengetuai pentadbiran Sabah.

Adun Senallang itu dalam kenyataan menegaskan tiada satu NPL yang dilupuskan sepanjang beliau menjadi ketua menteri dan pengerusi Lembaga Pengarah Sabah Development Bank (SDB) dari Mei 2018 hingga September 2020.

Menurutnya, setiap keputusan kewangan tertakluk kepada proses dalaman bank serta penilaian kredit yang ketat dan beliau juga tidak campur tangan dalam urusan harian atau keputusan
pinjaman khusus di SDB.

“Tuduhan saya melindungi kroni atau memberi layanan istimewa kepada peminjam yang mempunyai hubungan politik adalah satu pembohongan. Saya tidak pernah campur tangan dalam kelulusan pinjaman atau urusan kewangan bank.

“Justeru dakwaan kononnya saya ‘melupuskan pinjaman RM178 juta kepada CASH Bhd’ adalah satu pemutarbelitan fakta disengajakan,” katanya sambil menegaskan akan mengambil tindakan terhadap pihak menyebarkan fitnah itu.

Shafie mengulas laporan sebuah portal tempatan Sabah yang mendakwa beliau meluluskan pelupusan hutang sebuah syarikat yang didakwa kroni kepadanya.

Ahli Semporna itu turut mempersoalkan mengapa pendedahan itu dibuat sekarang sedangkan perkara terbabit didakwa sudah lama berlaku.

“Saya tidak takut disiasat secara bebas dan telus. Namun saya tidak akan berdiam diri apabila pembohongan terus diulang dan dijaja demi kepentingan politik.

“Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terus menyebarkan fitnah dan mencemarkan nama baik saya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.