
Semakan di Telegram menunjukkan saluran Edisi Siasat telah disekat petang ini, dengan pengguna dimaklumkan bahawa siarannya ‘tidak boleh dipaparkan kerana melanggar undang-undang tempatan’.
FMT difahamkan, langkah ini diambil oleh Telegram bagi mematuhi injunksi interim yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi.
Susulan saluran asalnya disekat, Edisi Siasat telah membuka saluran kedua yang baharu di Telegram.
Awal hari ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berjaya memperoleh perintah injunksi interim daripada Mahkamah Tinggi ke atas dua saluran Telegram, Edisi Siasat dan Edisi Khas.
Menurut SKMM, kedua-dua saluran itu dikenal pasti menyebarkan kandungan didapati melanggar peruntukan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu berpotensi menghakis kepercayaan terhadap institusi awam negara serta menjejaskan ketenteraman masyarakat.
Saluran Edisi Siasat dan Edisi Khas menerbitkan dakwaan gaya pemberi maklumat, terutamanya menyasarkan institusi awam dan agensi penguatkuasaan.
Walaupun tidak diiktiraf rasmi, siaran di kedua-dua saluran ini sering mendapat perhatian dan mencetuskan perdebatan awam.
SKMM mengingatkan platform media sosial bahawa mereka mempunyai kewajipan untuk memastikan kandungan di platform mereka tidak melanggar undang-undang Malaysia.
Pihak suruhanjaya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sama terhadap platform lain bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna terus terpelihara, tegasnya.