
Katanya, jika kaedah ini — yang diguna pakai beberapa negara lain — dilaksanakan, 16 juta ahli KWSP berpeluang menikmati rawatan hospital swasta menggunakan caruman sendiri.
Langkah ini dipertimbangkan memandangkan 32% jumlah kos penjagaan kesihatan di negara ini didapati dibayar sendiri oleh pesakit, bukan dilindungi insuran, tambahnya.
“Satu peratus yang kecil untuk digunakan bagi pembayaran insurans. Mereka tak rasa pun, bukan bayar daripada duit poket mereka, (tetapi) daripada akaun KWSP.
“Ini cara yang paling baik. Jadi akhirnya, rakyat kita semua akan mempunyai perlindungan seperti Singapura,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama wartawan TV3.
Dzulkefly berkata, skim ini tidak wajib, sebaliknya hanya pilihan yang wajar diberikan kerana terdapat ahli yang mungkin mahukan perlindungan insuran lebih meluas.
Skim baharu ini juga berbeza dengan inisiatif i-Lindung yang sedang dilaksana bersama KWSP untuk keilatan, penyakit kritikal dan perlindungan hayat.
Dalam pada itu, Dzulkefly memaklumkan, kerajaan akan memperkenal inisiatif Rakan Kementerian Kesihatan (KKM) seawal suku ketiga tahun ini.
Setakat ini, katanya, KKM mendapat kerjasama Hospital Cyberjaya, Hospital Putrajaya, Hospital Serdang dan Institut Kanser Negara (IKN).
Selain itu, 40 hospital awam dengan kapasiti 800 katil juga dikenalpasti untuk menyertai inisiatif ini secara berperingkat, membabitkan pelaburan sebanyak RM85 juta ringgit termasuk suntikan RM25 juta menerusi Belanjawan 2025.