Jepun tunjuk minat terhadap JS-SEZ, kata Anwar

Jepun tunjuk minat terhadap JS-SEZ, kata Anwar

Perdana menteri berkata Jepun berhasrat memperkukuh kehadiran pelaburannya di Malaysia, dengan Johor dikenal pasti sebagai keutamaan strategik.

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim berkata rakan sejawatnya dari Jepun menyatakan hasrat memperluas pelaburan sektor swasta di Malaysia/
ISKANDAR PUTERI:
Minat Jepun terhadap Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) semakin meningkat dengan kedua-dua negara — Malaysia dan Jepun — berusaha memperkukuh kerjasama ekonomi dua hala.

Dalam ucapan penutupnya di Forum Nikkei Medini Johor 2025, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata rakan sejawatannya dari Jepun, Shigeru Ishiba dalam perbualan telefon, bulan lalu telah menyatakan hasrat memperluas pelaburan sektor swasta di Malaysia

“Apabila saya berbual dengan perdana menteri Ishiba bulan lalu, beliau bukan sahaja menyebut usaha Sarawak dalam hidrogen hijau, tetapi turut merujuk secara khusus kepada Johor dan JS-SEZ.

“Fakta perdana menteri Jepun menyebut nama Johor secara langsung menunjukkan kepentingan strategik rantau ini dalam hubungan dua hala kita,” katanya dalam forum dianjurkan bersama Iskandar Investment Bhd (IIB).

Duta Jepun ke Malaysia, Noriyuki Shikata, berkata Jepun berhasrat menyokong pertumbuhan Johor dan peranannya sebagai rantau penting, terutamanya menerusi penyelesaian teknologi canggih dan kerjasama infrastruktur.

Beliau menyifatkan kesesakan lalu lintas sebagai halangan utama kepada pembangunan Johor, dengan menekankan kesannya terhadap ekonomi, alam sekitar dan keselamatan jalan raya.

“Jepun berhasrat bekerjasama dengan Johor dengan menawarkan penyelesaian terkini, termasuk sistem pengangkutan pintar dan pembangunan infrastruktur berkualiti.

“Dengan menggunakan sistem kawalan trafik berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan rangkaian pengangkutan awam yang dioptimumkan secara digital dari Jepun, kami mahu membantu Johor mengatasi kesesakan lalu lintas.

“Serta menjadi bandar contoh bagi penyelesaian pengangkutan — bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat Asean dan global,” katanya.

Shikata turut menekankan kemunculan Johor sebagai hab serantau pusat data turut membawa cabaran dari segi alam sekitar, memandangkan keperluan tenaga yang tinggi untuk sistem penyejukan.

“Dalam hal ini, teknologi penyejukan gas asli cecair (LNG) dari Jepun boleh menawarkan penyelesaian penyejukan yang mesra alam dan cekap.

“Dengan menggunakan teknologi itu, pusat data di Johor boleh meningkatkan kecekapan tenaga secara ketara sambil mengurangkan kesan alam sekitar serta meningkatkan kecekapan operasi mereka.”

Dari segi pendidikan, Shikata mencadangkan dasar ‘Pandang ke Timur’ Malaysia berkembang kepada pendekatan lebih saling timbal balik, iaitu ‘Pandang Satu Sama Lain’ untuk memperdalam pertukaran akademik dan budaya.

Beliau menggesa agensi kerajaan, universiti dan pemain industri dari kedua-dua negara menyokong usaha mewujudkan program akademik bersama antara institusi di Johor dan Jepun, khususnya dalam bidang semikonduktor, bioteknologi dan tenaga lestari.

Dalam perkembangan berasingan, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata negeri itu bersedia untuk menjadi rakan kerjasama yang komited dan berkeupayaan dalam mengukuhkan hubungan Malaysia-Jepun.

Beliau berkata penganjuran forum itu di Johor menjadi satu penanda aras kepada peningkatan profil antarabangsa negeri berkenaan.

“Forum ini bukan sahaja mengangkat nama Johor ke peringkat global, malah membuktikan bahawa negeri ini sedang muncul sebagai pemain utama baharu dalam landskap geoekonomi rantau ini,” kata Onn Hafiz.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.