Institusi kewangan sedia sokong pelabur JS-SEZ, kata pemimpin industri

Institusi kewangan sedia sokong pelabur JS-SEZ, kata pemimpin industri

Chiok Sook Yin dari UOB berkata bank berada dalam kedudukan baik untuk memudahkan pelaburan asing dengan sokongan menyeluruh.

Nikkei Forum
Pengarah Urusan FMT, Azeem Abu Bakar (kiri), Ketua Penasihat Pelaburan Langsung Asing di pejabat CEO UOB, Chiok Sook Yin (kedua dari kiri), Ketua Penyelidikan Affin Hwang Investment Bank, Loong Chee Wei (tengah), dan Pengarah Eksekutif Deloitte Malaysia, Thean Szu Ping, semasa sesi di Forum Nikkei Medini, Johor 2025, yang dianjurkan bersama oleh Iskandar Investment Bhd di Iskandar Puteri, Johor, semalam.
ISKANDAR PUTERI:
Institusi kewangan bersedia menyediakan sokongan menyeluruh kepada pelabur di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) termasuk menawarkan rangkaian penuh perkhidmatan bagi memudahkan pelaburan langsung asing, kata pemimpin industri.

Chiok Sook Yin, ketua penasihat pelaburan langsung asing di pejabat CEO United Overseas Bank Ltd, berkata bank itu berada dalam kedudukan kukuh ‘menghubungkan titik penting’ bagi perniagaan ingin memasuki Malaysia.

“Selain mempunyai rangkaian hubungan kuat, kami turut menawarkan penyelesaian pengurusan rantaian bekalan kewangan bagi membantu pelabur memperluas sumber tempatan dan menyokong pembekal baharu yang mengikuti syarikat-syarikat utama ke Malaysia.

“Kami juga membantu mengurangkan halangan kemasukan bagi pelabur dan menangani kebimbangan mereka sebelum memasuki pasaran sasaran,” katanya pada sesi di Forum Nikkei Medini Johor 2025, yang dianjurkan bersama oleh Iskandar Investment Bhd di sini, hari ini.

Chiok menjawab soalan daripada Pengarah Urusan FMT Azeem Abu Bakar, yang menjadi moderator sesi itu, berhubung peranan institusi kewangan dalam menyokong pengembangan ke JS-SEZ.

“Johor kini muncul sebagai hab pesat berkembang dengan banyak peluang dan perniagaan rentas sempadan.

“Apa yang akan membuka potensi ini ialah aspek kewangan dan untuk menjayakannya di sini, wang perlu masuk,” katanya.

JS-SEZ secara rasmi ditubuhkan pada Januari lalu melalui perjanjian antara Malaysia dan Singapura untuk meningkatkan hubungan ekonomi antara Johor dan republik itu.

Zon ini menyasarkan menarik 100 projek bernilai RM100 bilion dan mewujudkan kira-kira 100,000 pekerjaan dalam sektor bernilai tinggi seperti pembuatan, ekonomi digital, logistik, tenaga bersih dan pelancongan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Chiok turut memaklumkan JS-SEZ menarik minat kukuh bukan sahaja dari syarikat-syarikat Singapura tetapi juga dari Eropah dan Asia Utara.

Sementara itu, ketua penyelidikan Affin Hwang Investment Bank Loong Chee Wei berkata bank berkenaan kini bukan sahaja terlibat dalam pembiayaan tetapi turut membantu menghubungkan pihak-pihak berkepentingan seperti pihak berkuasa negeri, pengilang dan rakan kongsi rantaian bekalan.

“Kami mempunyai perjanjian strategik untuk bekerjasama dengan sektor utama dan mempromosikan pelaburan, termasuk dari Jepun ke Malaysia.

“Kami juga memberi nasihat kepada pelabur institusi kami dan menganjurkan lawatan ke Johor untuk meneroka peluang,” katanya.

Pengarah eksekutif Deloitte Malaysia, Thean Szu Ping pula menambah bahawa walaupun institusi kewangan memainkan peranan penting sebagai pemudah cara, kerajaan juga meningkatkan usaha untuk menarik pelaburan, terutamanya dalam industri berteknologi tinggi.

“Bagi industri-industri ini, kadar cukai khas sebanyak 5% disediakan untuk tempoh sehingga 15 tahun.

“Ada juga insentif tambahan untuk industri berintensifkan modal yang akan menerima elaun cukai pelaburan menggantikan kadar cukai yang dikurangkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.