E-waste RM11.6 juta disita

E-waste RM11.6 juta disita

Jabatan Alam Sekitar berkata sejumlah 69 premis diperiksa dalam operasi di seluruh negara.

sisa ewaste
Jabatan Alam Sekitar berkata pihaknya akan membuka kertas siasatan ke atas 25 premis bagi pelbagai kesalahan antaranya langgar syarat lesen, tiada lesen, dan tiada kebenaran bagi pemprosesan e-waste. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
E-waste bernilai RM11.6 juta disita dalam Op Hazard di seluruh negara, baru-baru ini, kata Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Menurut JAS, operasi yang dilaksanakan pada 16 dan 17 Jun lalu itu melibatkan pemeriksaan ke atas 69 premis dengan melibatkan 2,069.31 metrik tan (MT) e-waste.

“Sebanyak 24 premis dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127), melibatkan mesin-mesin pengeluaran yang digunakan tanpa sebarang alat kawalan pencemaran.

“59 notis arahan mengikut Seksyen 31 dan 37 di bawah Akta 127 ke atas 40 premis dan 18 kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005,” katanya dalam kenyataan.

Dalam operasi itu, didapati 21 premis beroperasi secara haram, 12 premis bukan yang ditetapkan, tujuh premis berlesen di bawah JAS, dan 29 premis barang lusuh.

JAS berkata, turut serta dalam serbuan dan pemeriksaan itu adalah Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), serta Wildlife Crime Bureau (WCB) di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) serta polis.

Dalam pada itu, kertas siasatan akan dibuka ke atas 25 premis bagi tindakan penyiasatan pelbagai kesalahan yang disyaki telah dilakukan di bawah Akta 127.

JAS berkata, antaranya gagal mematuhi syarat lesen ditetapkan (Seksyen 16), menjadi kemudahan penstoran luar tapak buangan terjadual tanpa lesen JAS (Seksyen 18), dan gagal mengemukakan kebenaran bertulis daripada ketua pengarah alam sekitar (Seksyen 19).

Ini termasuk kegagalan mengemukakan laporan penilaian kesan kepada alam sekitar (Seksyen 34A) dan menempatkan buangan terjadual tanpa kelulusan Ketua Pengarah Alam Sekitar (Seksyen 34B).

JAS turut mengingatkan sebarang aktiviti pengurusan buangan terjadual, termasuk e-waste, yang dijalankan tanpa kelulusan Unit Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar (Kpas) adalah satu kesalahan serius.

Katanya, mengikut pindaan terkini Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024, pesalah boleh dikenakan hukuman maksimum denda RM10 juta dan penjara sehingga lima tahun jika disabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.