Tok Mat ‘realistik’ keperluan Umno kekal dalam kerajaan, kata penganalisis

Tok Mat ‘realistik’ keperluan Umno kekal dalam kerajaan, kata penganalisis

Hisommudin Bakar berkata, timbalan presiden Umno tahu itu satu-satunya cara berkesan untuk perjuang dasar pro-Bumiputera.

Mohamad Hasan
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata, parti itu hanya akan jadi ‘penonton’ jika keluar kerajaan perpaduan.
PETALING JAYA:
Penganalisis politik menyokong penegasan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan bahawa parti itu mesti kekal dalam kerajaan supaya dapat memperjuangkan agenda Bumiputera dengan berkesan.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata, Mohamad, atau dipanggil Tok Mat,’realistik’ dalam pandangannya mengenai perkara itu.

Katanya, Mohamad sedar parti itu hanya boleh menjadi sebahagian membentuk dasar pro-Bumiputera dan mempengaruhi naratif komuniti itu dalam kerangka nasional jika kekal dalam kerajaan.

“Agenda Bumiputera hanya boleh dilaksanakan dengan berkesan jika diperjuangkan dari dalam kerajaan,” kata Hisommudin kepada FMT.

Beliau berkata, parti bukan kerajaan tidak cukup alat dan sokongan institusi diperlukan untuk menyampaikan manfaat ketara buat komuniti itu, menyebabkan mereka sangat bergantung pada slogan retorik dan populis untuk meraih sokongan.

Ahad lalu, Mohamad berkata, lebih baik Umno kekal dalam kerajaan supaya dapat ‘memacu agenda baharu yang sesuai dengan realiti hari ini’.

Jika tidak, katanya, Umno akan menjadi penonton semata-mata.

Mohamad berkata demikian dua minggu selepas bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pembentukan pakatan perpaduan Melayu yang longgar untuk ‘menyelamatkan’ komuniti itu daripada apa yang disifatkannya sebagai kemerosotan politik dan ekonomi.

Dalam pada itu, Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya berkata, sebarang percubaan Umno untuk memajukan agenda tertentu tanpa sokongan kerajaan hanya akan mencetuskan tekanan dan cadangan yang ‘tidak ke mana’.

Beliau berkata, perkara ini dapat dilihat ketika Umno menjadi pembangkang berikutan kekalahannya pada PRU14.

“Agenda Bumiputera tidak lagi diutamakan pada peringkat tertentu penggubalan dasar, malah terdapat cadangan mengurangkan dasar berasaskan kaum atas dasar meritokrasi,” katanya.

Bagaimanapun, Awang Azman berkata, kerelevanan Umno – serta daya tarikannya kepada pengundi muda – kini bergantung pada keupayaannya untuk menerima dan secara aktif memperjuangkan politik berasaskan isu.

“Pengundi hari ini tidak menilai parti hanya berdasarkan perjuangan lalu, tetapi menerusi pelaksanaan dasar dan impaknya terhadap kehidupan seharian, terutamanya dalam aspek-aspek seperti kos sara hidup, pendidikan, pekerjaan, teknologi, perumahan dan integriti pentadbiran,” katanya.

Menurut Awang Azman, Umno sudah mula menganjakkan naratif Bumiputeranya daripada hak keistimewaan berasaskan kaum kepada dasar-dasar inklusif dipacu pembangunan, yang memberi manfaat kepada semua komuniti.

Kedua-dua penganalisis bersetuju, dengan terus berada dalam kerajaan perpaduan, Umno memperoleh ‘kelebihan strategik’ untuk mempertahankan agenda parti dan mentakrifkan semula kerelevanannya.

“Jika Umno mampu menterjemahkan agenda Bumiputera menjadi agenda yang lebih berasaskan isu, inklusif dan berlandaskan integriti, maka kedudukannya dalam kerajaan bukan lagi soal kelangsungan hidup semata-mata, tetapi soal transformasi,” kata Awang Azman.

Zaid ‘kecewa tetapi tak terkejut’

Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim, bagaimanapun, menawarkan perspektif yang berbeza, berkata beliau ‘kecewa tetapi tidaklah terkejut’ dengan justifikasi timbalan presiden Umno itu.

Dalam hantarannya di X baru-baru ini, Zaid berkata, Umno kehilangan sokongan orang Melayu kerana parti itu mengingkari prinsipnya.

“(Umno) gagal ambil tindakan tegas menentang rasuah dan salah guna kuasa ketika (usaha) itu paling dituntut oleh rakyat,” katanya.

“Apa yang sudah Umno lakukan sejak sertai Kerajaan Madani untuk memulihkan kepercayaan atau membawa reformasi yang bermakna? Tiada apa-apa.”

Zaid mendakwa, walaupun dengan kehadiran Umno, kerajaan masih belum merangka dasar-dasar ekonomi yang ‘benar-benar mengangkat martabat orang Melayu’.

“Di mana perubahan struktur berani dalam pendidikan, keusahawanan, dan tadbir urus GLC yang boleh bawa perubahan ketara? Tiada apa pun (yang kita nampak)” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.