Suami isteri maut, 3 anak parah kemalangan di Pekan

Suami isteri maut, 3 anak parah kemalangan di Pekan

Polis berkata kereta yang dinaiki keluarga itu dipercayai hilang kawalan dan bertembung dengan sebuah lori.

excident pekan
Ketua Polis Pekan Mohd Zaidi Mat Zin, berkata kemalangan kira-kira 10 malam itu berlaku ketika keluarga terbabit dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Segamat. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Pasangan suami isteri maut, manakala tiga anak mereka parah selepas kereta dinaiki keluarga itu terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Kuantan-Segamat dekat Kampung Batu Lapan, Lepar, malam tadi.

Ketua Polis Pekan Mohd Zaidi Mat Zin, berkata kemalangan kira-kira 10 malam itu berlaku ketika keluarga terbabit dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Segamat.

Katanya, kejadian berlaku apabila kereta itu dipercayai hilang kawalan ketika memotong sebuah kenderaan lalu terbabas ke laluan kanan dan bertembung dengan lori dari arah bertentangan.

“Akibat kemalangan itu pemandu dan penumpang hadapan tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Tiga anak pasangan terbabit berusia antara 6 dan 17 tahun parah dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan, untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan menurut Berita Harian.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Jamal Azizul Samat, 44, dan isteri Lizawati Abdullah, 41, berasal dari Felda Chini Timur 1.

Katanya, pemandu lori berusia 31 tahun dan dua kelindan lori hanya cedera ringan.

Zaidi berkata jenazah suami isteri itu dihantar ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat sebelum diserah kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kemalangan maut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.