Perniagaan mahu lihat kesinambungan dasar bagi JS-SEZ, kata pengarah urusan UEM Group

Perniagaan mahu lihat kesinambungan dasar bagi JS-SEZ, kata pengarah urusan UEM Group

Amran Hafiz Affifudin berkata, untuk berjaya, rantau ini turut perlu tarik bakat dan pupuk inovasi.

the Fireside Chat session of Nikkei Forum in Medini
Pengarah Urusan FMT Azeem Abu Bakar (kiri) dan Pengarah Urusan UEM Group Bhd Amran Hafiz Affifudin pada Nikkei Forum Medini, Johor 2025, hari ini.
ISKANDAR PUTERI:
Kesinambungan dan kejelasan dasar amat penting bagi kejayaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), kata Pengarah Urusan UEM Group Bhd Amran Hafiz Affifudin.

Menyifatkan kesinambungan sebagai ‘pemangkin paling penting’ keyakinan perniagaan, Amran berkata, dasar yang stabil penting untuk menarik pelaburan jangka panjang ke rantau ini.

“Sebagai ahli komuniti perniagaan, kami ingin lihat kesinambungan dasar, terutamanya sebagai sebuah syarikat prasarana. Pelaburan kami bersifat jangka panjang, justeru kejelasan dan kesinambungan dasar amatlah penting.”

“Perniagaan kami libat perbelanjaan modal besar. Kestabilan dasar itu penting,” katanya di Nikkei Forum Medini, Johor 2025, anjuran bersama Iskandar Investment Bhd (IIB) hari ini.

Moderator sesi itu, Pengarah Urusan FMT Azeem Abu Bakar merujuk UEM Sunrise – cabang pembangunan hartanah UEM Group – sebagai contoh bagaimana perubahan dasar mempengaruhi sentimen pelabur dari semasa ke semasa.

“Apabila koridor pembangunan Iskandar Puteri pertama kali diumumkan bawah (pentadbiran) bekas perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi, saham UEM Sunrise melonjak kepada kira-kira RM3,” katanya.

“Kemudian dasar diketatkan mulai 2014, khususnya sekatan ke atas pembeli dari Singapura untuk membendung kenaikan harga hartanah, dan harga saham jatuh kepada sekitar RM1 sebelum merosot lagi kepada kira-kira 20 sen semasa wabak Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, susulan pengumuman JS-SEZ, saham UEM Sunrise pulih ke paras melebihi RM1.

Azeem bertanya sejauh mana tahap kejelasan dasar diperlukan untuk mengekalkan momentum ini, terutamanya setelah Rafizi Ramli meletak jawatan sebagai menteri ekonomi, tanpa pengganti setakat ini.

Satu rangka tindakan komprehensif bagi JS-SEZ, yang diterajui oleh Rafizi, dijangka akan dimuktamadkan dan diumumkan menjelang akhir tahun ini. Pelan tersebut menggariskan visi jangka panjang, hala tuju strategik, dan peluang pelaburan zon itu untuk menarik pelabur tempatan dan antarabangsa.

Susulan tewas dalam persaingan merebut jawatan timbalan presiden PKR, Rafizi menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai menteri ekonomi kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Malay Mail melaporkan, sebelum meletak jawatan, Rafizi memberi jaminan kepada pihak berkepentingan bahawa kemajuan JS-SEZ tidak akan diganggu gugat oleh sebarang perubahan politik, dan kerajaan kekal komited terhadap pembangunan jangka panjangnya.

Amran turut menekankan keperluan membangunkan lubuk bakat yang mantap di Johor dan di seluruh Malaysia.

“Mengasah bakat tempatan dari Johor ialah keutamaan tertinggi. Seterusnya, kita perlu tarik bakat dari seluruh pelosok Malaysia.

“Tema forum ini ialah ‘Memacu Hab Inovasi Asia’. Tanpa bakat, tiadalah inovasi, bermakna tiadalah hab,” katanya.

Di sebalik perubahan politik, beliau yakin dengan kerjasama antara kerajaan persekutuan dan Johor dengan Singapura dalam menggubal insentif bagi mendorong pertumbuhan.

“Kita harap sebarang dasar yang digubal sekarang, dan pada masa akan datang, akan mempermudah urusan menjalankan perniagaan di JS-SEZ,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.