Lelaki bunuh ibu bapa dipenjara 80 tahun, 24 sebatan

Lelaki bunuh ibu bapa dipenjara 80 tahun, 24 sebatan

Tertuduh berusia 42 tahun mengaku bunuh bapa dan ibu pada Disember lalu.

Afendi Muhammad Agu
Afendi Muhammad Agus @ Muhamed Ali mengaku salah membunuh ibu bapanya dalam kejadian di kediaman mereka Disember lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Lelaki dijatuhi hukuman penjara 80 tahun dan 24 sebatan selepas mengaku salah membunuh ibu bapanya dalam kejadian di kediaman mereka di Brickfields Disember lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi K Muniandy menjatuhkan hukuman itu selepas Afendi Muhammad Agus @ Muhamed Ali, 42, mengakui sedar dan faham dua pertuduhan serta hukuman dihadapinya.

Ditanya sama ada dia mempunyai apa-apa untuk diberitahu kepada mahkamah sebelum hukuman dibacakan, tertuduh menjawab: “Tidak ada apa-apa”.

Afendi yang juga penganggur dituduh membunuh bapanya, Muhammad Agus @ Muhamed Ali Omar, 82, dan ibu, Darlisma Njatu Saleh, 72, di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, Jalan Penchala Hilir 6, Brickfields.

Dia yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, melakukan jenayah itu pada 7.10 malam dan 7.20 malam, 9 Dis 2024, lapor Berita Harian.

Mahkamah menetapkan Afendi menjalani hukuman penjara 40 tahun dan 12 sebatan bagi setiap pertuduhan, namun memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh tangkap, manakala sebatan secara berasingan.

“Apapun alasan, anda tidak berhak membunuh ibu bapa atau sesiapa,” kata Muniandy.

Terdahulu, peguam Mohd Ruzaini Zulkifli memohon Afendi hanya dipenjarakan susulan pindaan Seksyen 302 yang memperuntukkan hukuman penjara dan sebatan sebagai alternatif kepada hukuman mati.

“Kedua-dua kesalahan dilakukan di tempat dan masa yang sama terhadap dua mangsa berbeza, menyebabkan anak guam saya dituduh dengan dua pertuduhan membunuh,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Izalina Abdullah memohon hukuman mati terhadap tertuduh kerana jenayah dilakukan ke atas ibu dan bapa sendiri adalah kesalahan sangat serius.

“Akibat perbuatan pelaku, dua nyawa telah terkorban. Mereka adalah individu yang membesarkan tertuduh. Dalam kes ini kita tidak tahu apa punca sebenar tertuduh melakukan perbuatan terbabit.

“Salah seorang mangsa adalah ibu yang mengandungkan, melahirkan tertuduh. Ini (membunuh) adalah kesalahan yang amat teruk.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.