KPN sumbang lagi RM5,000 duit saman Wan Azri kepada tabung polis

KPN sumbang lagi RM5,000 duit saman Wan Azri kepada tabung polis

Razarudin Husain berkata 'sekiranya ada lagi' duit saman dalam saman fitnah ke atas penulis blog itu akan diserahkan kepada Tabung Amanah Warisan Polis.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain menyerahkan cek cura RM5,000 kepada Tabung Amanah Warisan Polis, di Bukit Aman. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Ketua Polis Negara Razarudin Husain sekali lagi menyerahkan sumbangan RM5,000 kepada Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP), di mana wang itu hasil daripada perintah mahkamah terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris.

Pada 24 Februari lalu, Razarudin juga telah menyumbang RM10,000 juga daripada hasil kos guaman diperintahkan dalam kes saman fitnah.

“Sebelum ini RM10,000, saya sudah serahkan kepada TAWP…kali ini ada RM5,000 dan sekiranya ada lagi saya akan sumbang kepada tabung itu.

“Kita menjaga imej polis sendiri, bukan saman itu untuk keuntungan saya, tak niat pun saya. Ini adalah imej polis kerana ketua polis negara ini adalah ketua perkhidmatan pasukan polis,” katanya dalam video ringkas dalam Facebook Polis Diraja Malaysia.

Sumbangan berbentuk cek cura diserahkan kepada Ahli Tetap TAWP Abdul Aziz Abdul Majid, di Bukit Aman.

Razarudin bertindak memfailkan saman ke atas Wan Azri atas kenyataan penghinaan yang melabelkan plaintif sebagai ‘pelacur banduan terhormat’ dan ‘penjilat kepada perdana menteri’.

Pada 16 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Razarudin memulakan prosiding komital ketiga terhadap penulis blog berkenaan kerana melanggar syarat permohonan maaf diperintahkan mahkamah.

Permohonan itu berhubung kes saman RM3 juta difailkannya terhadap defendan, atas dakwaan memfitnah.

Berdasarkan notis permohonan komital ketiga difailkan, Razarudin memohon perintah komital terhadap Wan Azri kerana menghina mahkamah selepas defendan menerbitkan satu video pada 8.30 malam, 1 Mei di TikTok (Papa Azri) dan YouTube (Sir Azri).

Plaintif mendakwa penerbitan video itu menunjukkan defendan sebenarnya langsung tidak berasa kesal melanggar injunksi mahkamah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.