KKR akui kewangan kekang baik pulih serentak jalan berisiko

KKR akui kewangan kekang baik pulih serentak jalan berisiko

KKR perlukan RM4 bilion untuk elokkan semua jalan, kata Menteri Alexander Nanta Linggi.

Menteri Alexander Nanta Linggi kata pangkalan data KKR mempunyai maklumat tentang jalan yang teruk. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Kerja Raya (KKR) mengakui ia berdepan kekangan kewangan untuk baik pulih serentak jalan berisiko di seluruh negara, termasuk Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli.

Menteri Alexander Nanta Linggi berkata KKR fokus pada membaik pulih jalan kritikal lantaran kekurangan peruntukan itu.

“Kita nak elokkan semua jalan kita memerlukan RM4 bilion sebenarnya tapi kita tidak ada kewangan sebegitu,” katanya ketika ditemui media selepas rumah terbuka Gawai anjuran KKR.

“Jadi kita buat berperingkatlah. Memang sudah ada dalam pangkalan data. Kita tahu mana jalan yang teruk.”

Menteri mengulas sama ada KKR mengesan kawasan berisiko kemalangan lain untuk dinaik taraf, susulan kemalangan yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak minggu lalu.

Kementerian mempunyai maklumat semua jalan dan tahu beberapa keperluan untuk kerja-kerja baik pulih, katanya.

“Kita buat yang mana keutamaan. Yang ada keperluan melibatkan isu kritikal kita buat dahulu, yang rosak tak berapa kritikal kita kemudiankan,” katanya.

Mengulas lanjut, Nanta berkata sebanyak RM55 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan kerja-kerja penyenggaraan di Lebuhraya Timur-Barat, bagi tahun 2025.

“Perlaksanaannya hingga hujung tahun,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.