2 penjawat awam ditahan, sindiket PLKS tumpas

2 penjawat awam ditahan, sindiket PLKS tumpas

Sindiket meminda dan mencetak pelekat palsu imigresen untuk dijual kepada pendatang asing tanpa izin kira-kira RM100 hingga RM120 sekeping.

Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya menyerbu dua lokasi di Jalan Ipoh Isnin lalu. (Gambar Jabatan Imigresen)
PETALING JAYA:
Sindiket cetak pelekat palsu dan pas lawatan kerja sementara (PLKS) tumpas, manakala dua penjawat awam turut ditahan di Lembah Klang.

Ketua Pengarah Imigresen, Zakaria Shaaban, berkata seorang warga Pakistan yang juga dalang utama sindiket ditahan dalam operasi pertama bermula 11 pagi kelmarin di dua lokasi di Jalan Ipoh hasil aduan dan risikan selama dua minggu.

Katanya, semakan awal mendapati lelaki itu tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan sah, manakala seorang lelaki dan dua wanita tempatan sedang berurusan dalam premis terbabit turut diperiksa.

“Pasukan operasi menyita 13 pelekat palsu terdiri enam visa Bangladesh, Amerika Syarikat (dua), masing-masing satu visa Indonesia dan Pakistan, satu pelekat muka depan Biometrik Pasport Bangladesh, satu set komputer, komputer riba dan mesin pencetak,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, modus operandi sindiket adalah meminda dan mencetak pelekat palsu imigresen untuk dijual kepada pendatang asing tanpa izin kira-kira RM100 hingga RM120 sekeping mengikut negara dicetak.

“Seorang lelaki dan wanita warga tempatan diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.”

Menurutnya, dua wanita tempatan dipercayai dalang utama serta seorang lelaki tempatan ditahan dalam satu lagi operasi khas di sekitar Maluri, Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, Selangor pada 6.42 petang hari sama.

“Siasatan awal mendapati wanita dan lelaki ditahan ini adalah penjawat awam. Semua yang ditahan berusia 40 hingga 43 tahun.”

Beliau berkata, 74 pasport Sri Lanka, Myanmar (13), Vietnam (6), Indonesia (2), Ghana (2) dan masing-masing satu pasport India, Pakistan, Bangladesh serta Syria disita bersama sebuah Toyota Vellfire digunakan sindiket itu.

“Modus operandi sindiket adalah menguruskan PLKS kepada warga asing di Lembah Klang.

“Hasil semakan awal mendapati butiran pada ePLKS dipinda dan tidak wujud dalam sistem imigresen. Kadar bayaran dikenakan sebanyak RM11,000 bagi setiap seorang dan dipercayai beroperasi sejak hujung 2024.”

Katanya, semua warga tempatan ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.