
Hakim Faizah Jamaluddin berkata Mahkamah Tinggi Ipoh terkhilaf apabila menganggap ujian nafas dan sampel biologi adalah wajib bawah Seksyen 45C APJ, dalam keputusannya tahun lepas.
“Keputusan itu mewajarkan campur tangan oleh mahkamah ini,” kata Faizah, yang bersidang bersama Ahmad Zaidi Ibrahim dan Azmi Ariffin, ketika menyampaikan penghakiman sebulat suara.
Pegawai bank, L Kannan, disabitkan oleh majistret kerana memandu dalam keadaan mabuk di Ipoh pada 31 Dis 2020, selepas alat penguji nafas digunakan untuk menentukan bahawa dia telah melebihi had alkohol yang ditetapkan APJ.
Dia dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM10,000.
Semasa rayuan, Mahkamah Tinggi membebaskan Kannan, memutuskan bahawa Seksyen 45B(1) APJ hanyalah tatacara saringan awal, dan jika ujian nafas positif, penyiasat perlu mengumpul dua spesimen lagi untuk ujian.
Mahkamah Tinggi menganggap sabitan oleh mahkamah bawahan tidak selamat, lalu membawa kepada rayuan sekarang.
Faizah berkata Mahkamah Tinggi tersalah tafsir undang-undang.
“Kami tidak pasti apa yang dimaksudkan oleh Mahkamah Tinggi dengan saringan ‘awal’ sedangkan ujian itu positif,” katanya, sambil menyatakan istilah ‘positif’ tidak terdapat dalam Seksyen 44 dan 45 APJ.
Beliau berkata tafsiran kehakiman mesti selaras niat perundangan.
Mahkamah Rayuan kemudian mengurangkan hukuman penjara Kannan kepada satu hari tetapi meningkatkan denda kepada RM15,000.
Dia juga dilarang memandu selama dua tahun berkuat kuasa hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya Fairuz Johari mewakili pihak pendakwaan, manakala Shiv Dev Singh mewakili Kannan.