
Presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) DJ Dave mengesahkan pemergian Sheqal atau nama sebenarnya Shaharim Salehuddin pada usia 60 tahun.
Dave berkata beliau secara kebetulan baru tiba di hospital untuk melawat Sheqal yang mula dirawat sejak 4 Jun, kemudiannya ditidurkan dua hari kemudiannya.
“Arwah pergi dalam tenang di samping isteri dan dua orang anaknya,” katanya kepada FMT sambil memberitahu YKAT turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga Sheqal.

Jenazah dijangka dikebumikan di Raub, Pahang.
Sepanjang kerjaya nyanyiannya, Sheqal yang popular dengan genre balada nusantara memiliki empat album iaitu Balada Nusantara pada 1990, Pudar Yang Tersirat Pasrah (1991), Cahaya (1994) dan Lambaian (1998).
Antara lagu popularnya Cinta Nusantara, Kasih Tak Terhurai, Zapin Rindu Rinduan, Pasrah, Seloka Anak Cucu dan Ratib Anak Lautan.