Semua orang harus boleh akses pendidikan kewangan, seru WEF

Semua orang harus boleh akses pendidikan kewangan, seru WEF

Haleh Nazeri dari WEF kata pendidikan kewangan harus dipermudahkan dan 'digamifikasikan' bagi membantu orang ramai merancang kewangan jangka panjang.

Haleh Nazeri
Haleh Nazeri di Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa KWSP di Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR:
Pendidikan kewangan harus lebih mudah diakses dan kreatif, bercirikan konsep ‘celik lanjut usia’ bagi membantu orang ramai memahami perancangan kewangan jangka panjang, kata seorang pegawai Forum Ekonomi Dunia (WEF).

Ketua ekonomi lanjut usia WEF, Haleh Nazeri, berkata syarikat perkhidmatan, kerajaan dan masyarakat sivil boleh memudahkan proses itu, mencadangkan pendidikan kewangan ‘digamifikasikan’.

“Saya rasa amat sukar apabila bercakap tentang pendidikan kewangan memandangkan seseorang individu itu sendiri yang bertanggungjawab untuk memahami, belajar, dan mengakses semua perkara yang diperkatakan oleh orang ramai,” katanya dalam sesi bersama panel pada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa KWSP (ISWC 2025).

Seorang lagi ahli panel, iaitu presiden bersama kehormat Basic Income Earth Network, Guy Standing, menyeru pendekatan kerajaan membiayai jaringan keselamatan sosial direnung semula.

Beliau mencadangkan cukai dikenakan ke atas sewa-sewa ekonomi — ‘keuntungan tak usaha’ yang diperoleh daripada pemilikan tanah, eksploitasi sumber asli atau amalan-amalan korporat yang bersifat monopoli — dan bukannya ke atas pendapatan atau penggunaan.

Standing mengambil contoh Alaska Permanent Fund, yang membayar dividen tahunan daripada hasil minyak kepada penduduk negeri itu.

Dalam pada itu, Standing mengkritik sistem kebajikan semasa kerana mewujudkan ‘perangkap kemiskinan’, di mana kadar cukai marginal yang tinggi menghukum mereka yang bekerja sementara.

“Orang ramai sememangnya ada kemahuan untuk memperbaiki kehidupan mereka, dan harus lebih dipercayai apabila membuat keputusan dasar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.