
Exco Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin berkata, Lo Kwan Fong, 39, kali terakhir menghubungi sekolah pada 26 Sept 2024 bagi memaklumkan ketidakhadirannya.
Menurutnya, Lo gagal dikesan bermula 10 Nov tahun lepas, tidak dapat dihubungi menerusi panggilan telefon, WhatsApp, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan aplikasi Messenger serta Telegram.
“Guru besar sekolah mengeluarkan surat tunjuk sebab atas ketidakhadiran bertugas terhadap Lo pada 21 Nov dan 19 Dis tahun lepas,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
“Nombor telefon guru itu terus tidak dapat dihubungi pada 12 Mac 2025, menyebabkan pihak sekolah menggunakan pelbagai kaedah lain untuk mengesan wanita itu.”
Aznan berkata, pihak sekolah meneruskan usaha mengesan Lo dengan menghantar surat kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Penjara, Jabatan Imigresen dan surat makluman cabutan daftar alamat daripada Jabatan Pendaftaran Negara.
Selain itu, jiran wanita itu mengesahkan pada 29 Dis 2024 bahawa dia sudah lama tidak pulang ke rumah, dengan banyak surat pada tingkap serta pintu rumah, selain keretanya terbiar di tepi jalan berhampiran.
“(Lo) anak tunggal dan tinggal bersendirian selepas ibu bapanya meninggal dunia,” katanya menambah, guru itu didakwa mengalami masalah peribadi.
Aznan berkata, setakat malam 13 Jun, mayat wanita itu difahamkan masih berada di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, tanpa dituntut waris.
Semalam, polis mengesahkan mayat seorang guru ditemukan di dalam sebuah rumah di Bandar Selesa Jaya, Iskandar Puteri, dipercayai meninggal dunia sejak sebulan lepas.