Perpustakaan perlu jadi pusat ilmu, bukan tempat simpan buku, kata Anwar

Perpustakaan perlu jadi pusat ilmu, bukan tempat simpan buku, kata Anwar

Perdana menteri berkata pustakawan perlu perkenal kandungan menarik kepada pembaca serta guna teknologi dan peralatan digital jangkau khalayak lebih luas.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyempurnakan gimik pelancaran Persidangan dan Mesyuarat Agung Kongres Pustakawan Asia Tenggara ke-19 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa pustakawan melangkaui peranan tradisional mereka dengan menyahut cabaran memupuk budaya membaca dinamik, khasnya dalam kalangan generasi muda.

Beliau berkata, pustakawan perlu menjadi pembimbing berkesan dalam memperkenalkan kandungan menarik kepada pembaca serta memanfaatkan teknologi dan peralatan digital untuk menjangkau khalayak lebih luas.

Katanya, perpustakaan perlu berfungsi sebagai pusat ilmu, budaya dan wacana intelektual aktif, bukan tempat simpanan buku atau ruang berestetika semata-mata.

“Peranan pustakawan bukan sekadar mengumpul buku dan mempamerkannya dalam almari kaca.

“Sebaliknya (perlu) menjadikan perpustakaan sebagai sumber penting dalam meningkatkan kesedaran dan memberi inspirasi kepada pembaca,” katanya berucap merasmikan Persidangan dan Mesyuarat Agung Kongres Pustakawan Asia Tenggara ke-19 (CONSAL XIX 2025) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Anwar berkata, evolusi penyimpanan ilmu yang dahulunya bermula dengan gulungan kertas dan mikrofilem kini berkembang dalam bentuk digital.

Beliau amat menghargai inisiatif penubuhan Perpustakaan Digital Asean yang disifatkannya pencapaian penting dalam mendemokrasikan akses kepada ilmu.

“Perpustakaan moden perlu menjadi hab yang hidup, terhubung dengan budaya dan seni serta menawarkan pelbagai medium seperti podcast, filem, pangkalan data, e-buku dan bahan digital lain yang mencerminkan cara masyarakat belajar dan meneroka hari ini.”

Anwar turut menekankan perpustakaan perlu menyesuaikan keperluan dengan kehendak semasa, khususnya generasi muda yang mahukan ia lebih daripada sekadar ruang senyap untuk membaca.

Bertemakan ‘Memanfaatkan Inklusiviti, Memperkasa Kemanusiaan’, CONSAL XIX 2025 menekankan kepentingan keterangkuman dalam akses dan penyebaran pengetahuan kepada semua lapisan masyarakat.

Acara tiga tahun sekali itu adalah platform kerjasama serantau bagi profesional perpustakaan di seluruh Asean.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.