Lagi ustaz direman kes tipu pakej haji

Lagi ustaz direman kes tipu pakej haji

Polis berkata lelaki 58 tahun itu disyaki terbabit kes penipuan pakej haji membabitkan tiga beranak di Mantin.

Abdul Malik Hasim
Ketua Polis Nilai Abdul Malik Hasim berkata suspek ditahan ketika memberi keterangan di IPD Nilai kira-kira 3.30 petang semalam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang lagi ustaz direman dua hari kerana disyaki terbabit kes penipuan pakej haji membabitkan tiga beranak di Mantin, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Nilai, Abdul Malik Hasim, berkata perintah reman dua hari bermula hari ini dikeluarkan Majistret Saiful Sayoti ke atas lelaki 58 tahun yang ditahan ketika memberi keterangan di IPD Nilai kira-kira 3.30 petang semalam.

“Lelaki yang juga tenaga pengajar di sebuah madrasah di Johor ditahan kerana disyaki terbabit kes penipuan pakej haji dilaporkan di daerah ini,” katanya menurut Berita Harian.

Semalam, media melaporkan seorang lelaki direman empat hari selepas disyaki terbabit kes penipuan pakej haji sekumpulan jemaah warga emas yang didakwa dikurung di Arab Saudi baru-baru ini.

Suspek ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Ahad lalu bersama jemaah haji lain yang selamat tiba di tanah air.

Sebelum ini, media melaporkan 47 jemaah Malaysia ditipu ejen haji tempatan dipercayai membabitkan seorang agamawan.

Mangsa mendakwa dipaksa meredah laluan berbahaya dengan berjalan kaki tanpa dokumen ke Makkah sebaik tiba di Jeddah, susulan kawalan ketat pihak berkuasa Arab Saudi terhadap jemaah tiada visa haji.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.