Kenapa lesen syarikat bas tak batal dari awal, soal bekas KP

Kenapa lesen syarikat bas tak batal dari awal, soal bekas KP

Bekas ketua pengarah JKJR kata tindakan patut diambil apabila syarikat terbabit gagal audit keselamatan JPJ.

kemalangan upsi
Bas membawa 42 pelajar UPSI dalam perjalanan dari Jertih ke kampus induk di Tanjung Malim apabila bertembung dengan sebuah kereta di KM53 Lebuhraya Timur-Barat di Gerik. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas pegawai keselamatan jalan raya soal mengapa lesen syarikat bas yang terlibat dalam nahas maut di Gerik tidak dibatal sebelum ini walaupun gagal audit keselamatan yang ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Suret Singh, ketua pengarah pertama Jabatan Keselamatan Jalan Raya, berkata kematian 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu boleh dielakkan sekiranya lesen syarikat itu dibatalkan dari awal.

Suret kesal kekurangan penguatkuasaan yang gagal mengenal pasti kegagalan audit syarikat terbabit, mengatakan agensi penguatkuasaan mempunyai kuasa untuk membatalkan lesen berdasarkan penemuan.

“Kalau pihak yang dipertanggungjawabkan telah menjalankan tugas mereka dengan amanah, mengapa lesen PSV pemandu ini tidak dibatalkan?” katanya dalam audio siar Keluar Sekejap oleh Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.

Bas membawa 42 pelajar UPSI itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke kampus induk di Tanjung Malim, Perak pada 9 Jun apabila bertembung dengan sebuah kereta di KM53 Lebuhraya Timur-Barat di Gerik.

Tiga belas pelajar maut di tempat kejadian dan dua maut ketika rawatan di hospital.

Pada Jumaat, pemandu bas iaitu Amirul Fadhil Zulkifle didakwa atas 15 pertuduhan memandu secara berbahaya, dan satu pertuduhan memandu secara melulu. Dia juga sedang disiasat oleh JPJ dan lesen memandu vokasionalnya digantung.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata syarikat bas terbabit gagal semua tujuh kriteria keselamatan yang ditetapkan JPJ, termasuk pelantikan pegawai keselamatan, pemantauan kelajuan bas melalui GPS, dan pematuhan had pemanduan maksimum selama lapan jam untuk pemandu.

JPJ pula mengumumkan ia membuka kertas siasatan terhadap pemilik syarikat pengendali kenderaan, termasuk syarikat yang menerima pajakan permit operasi bas berkenaan.

Bagaimanapun, Suret berkata tindakan-tindakan ini sudah terlambat dan mendedahkan kegagalan sistemik.

“Sudah sampai masa untuk ada satu kertas putih di Parlimen. Program ada keutamaan, lepas tu tak ada keutamaan,” katanya.

“Menteri-menteri yang berkenaan — Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Kesihatan, polis, JPJ — apa tanggungjawab mereka?”

Suret, yang pernah mempengerusikan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, berkata kadar pelaksanaan dasar keselamatan oleh Malaysia antara yang terendah dalam kalangan negara setara.

Katanya, Malaysia tidak memerlukan lebih banyak pasukan petugas memandangkan ia sudah diberi 51 cadangan kukuh oleh panel yang menyiasat kemalangan maut di Genting pada 2013, yang menyaksikan 37 nyawa terkorban selepas sebuah bas terjunam ke dalam gaung.

“Harap buatlah dulu. Isu sekarang ialah pelaksanaan dan penguatkuasaan,” katanya.

Menurut Suret, syor memasang pengehad kelajuan dan tali pinggang keledar dalam bas telah diajukan pada 2013, tetapi tidak dilaksanakan sepenuhnya.

“Semua ini sudah ada. Apa yang tak ada ialah iltizam untuk laksana,” katanya.

“Kami tidak boleh terus salahkan faktor yang sama selepas setiap berlaku tragedi.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.