Bekas PM Sweden seru individu kerja sehingga 75 tahun

Bekas PM Sweden seru individu kerja sehingga 75 tahun

Fredrik Reinfeldt berkata tempoh bekerja perlu dipanjangkan untuk melaksanakan dasar sosial inklusif bagi mengekalkan pertumbuhan ekonomi serta kelestarian sistem pencen.

Fredrik Reinfeldt
Fredrik Reinfeldt berucap pada Konvensyen Kesejahteraan Sosial Antarabangsa anjuran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
KUALA LUMPUR:
Bekas perdana menteri Sweden Fredrik Reinfeldt menggesa konsep persaraan dikaji semula secara menyeluruh dengan menyeru individu terus bekerja sehingga usia 75 tahun.

Beliau berkata tindakan itu bagi menyesuaikan diri dengan jangka hayat semakin panjang dan memastikan sistem pencen kekal mampan.

Berucap pada Konvensyen Kesejahteraan Sosial Antarabangsa anjuran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di sini hari ini, Reinfeldt, seorang ahli ekonomi yang memimpin Sweden dari 2006 hingga 2014, berkata banyak norma persaraan masih berasaskan andaian lapuk.

“Masih ramai berpendapat mereka harus bersara pada umur 65 dan menikmati masa lapang selama berdekad-dekad, sedangkan ramai daripada mereka akan hidup sehingga usia 100 tahun,” katanya.

Sebaliknya, beliau mencadangkan warga emas diberi peranan kerja lebih sesuai dengan kebolehan mereka yang berubah, disokong rangka dasar kukuh.

Reinfeldt turut menyorot strategi Sweden yang merangkumi insentif cukai bagi mereka yang terus bekerja selepas umur 65 serta program latihan semula yang kukuh, khususnya untuk pekerja berusia lebih 45 tahun bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.

Beliau juga memaklumkan bahawa kesatuan sekerja dan majikan di Sweden telah melabur dalam pembelajaran sepanjang hayat menerusi perjanjian kolektif sejak tahun 1970-an.

Sambil memberi amaran mengenai peningkatan ketidaksamarataan di seluruh dunia, Reinfeldt menegaskan kapitalisme perlu bersifat inklusif dan disokong usaha politik bagi memastikan manfaatnya dikongsi secara adil.

Beliau menyeru kepada perjanjian sosial baharu yang menggabungkan kejayaan keusahawanan dengan dasar yang adil.

Reinfeldt memuji kemakmuran Sweden hasil daripada model sosial yang dibiayai cukai, yang menyediakan pendidikan percuma, penjagaan kesihatan sejagat, penjagaan warga emas, serta sistem pencen dikaitkan dengan pendapatan seumur hidup dan prestasi pasaran.

Katanya, dasar itu telah meningkatkan kadar penyertaan tenaga kerja, khususnya dalam kalangan wanita.

Reinfeldt turut menyatakan maklum balas proaktif Sweden terhadap perubahan demografi dan ekonomi boleh dijadikan contoh oleh negara lain.

“Perubahan ini akan berlaku di semua negara maju – dan juga di Malaysia. Masa bersedia ialah sekarang,” katanya.

Bulan lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said mencadangkan kerajaan mengkaji untuk melanjutkan umur persaraan kepada 65 tahun, dengan menyatakan ramai rakyat Malaysia masih aktif dan berkemampuan walaupun telah melepasi usia 60 tahun.

Pada 2014, Malaysia telah menaikkan umur persaraan kepada 60 tahun bagi sektor awam dan swasta, masing-masing meningkat daripada 58 dan 55 tahun. Langkah ini bertujuan untuk menyediakan sokongan kewangan kepada warga emas sambil menggalakkan penuaan sihat dan aktif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.