2 ditahan bantu siasatan kes tuntutan palsu lebih RM2 juta

2 ditahan bantu siasatan kes tuntutan palsu lebih RM2 juta

Mereka dipercayai guna lima syarikat pembinaan bagi projek selenggara dan baik pulih fasiliti sekolah menengah di Perlis.

sprm macc
Dua lelaki berusia 43 dan 50 tahun ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perlis di Kangar pada kira-kira 4.10 petang tadi. (Gambar Bernama) 
KANGAR:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis menahan dua lelaki hari ini bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu membabitkan peruntukan lebih RM2 juta pada 2022.

Dua lelaki berusia 43 dan 50 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM pada kira-kira 4.10 petang.

Menurut sumber, mereka dipercayai menggunakan lima syarikat pembinaan bagi projek penyelenggaraan, penambahbaikan dan membaik pulih fasiliti lima sekolah menengah di Perlis, melibatkan peruntukan RM2.459 juta.

“Bagaimanapun dua individu ini dilepaskan dengan jaminan SPRM RM10,000 dengan seorang penjamin pada 9.30 malam ini,” katanya.

Kedua-dua individu itu pernah ditangkap SPRM Selangor pada 2023 berkaitan projek yang sama di negeri itu dan telah dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis Mohd Nor Adha Ab Gani mengesahkan penahanan dua lelaki tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.