Tak duga temu 10 mayat termasuk bayi dalam projek pendalaman Sungai Klang

Tak duga temu 10 mayat termasuk bayi dalam projek pendalaman Sungai Klang

Pemaju induk di bawah inisiatif Selangor Maritime Gateway (SMG) berkata tiga mayat pernah dijumpai dalam tempoh berturut-turut.

Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), Syaiful Azmen Nordin berkata, penemuan mayat bukanlah insiden terpencil, malah berlaku hampir setiap bulan sejak kerja pedalaman dimulakan sejak 1 Nov 2022. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Lebih 10 mayat termasuk bayi ditemukan sepanjang pelaksanaan projek mitigasi banjir Sungai Klang di bawah inisiatif Selangor Maritime Gateway (SMG), kata pemaju induk.

Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), Syaiful Azmen Nordin berkata, penemuan mayat bukanlah insiden terpencil, malah berlaku hampir setiap bulan sejak kerja pendalaman dan pelebaran sungai dimulakan sejak 1 Nov 2022 sehingga kini.

“Setakat ini, kami telah menyerahkan lebih 10 mayat kepada pihak polis dan bomba untuk siasatan lanjut.

“Malah, kami juga pernah menemui tiga mayat dalam tempoh berturut-turut,” katanya menurut Sinar Harian, di Kota Kemuning, Shah Alam.

Beliau berkata, penemuan mayat termasuk bayi disifatkan aspek ‘paling tidak terduga’ dalam pelaksanaan projek.

Dasar Sungai Klang baginya cukup tercemar dengan penemuan pelbagai jenis sampah berat seperti peti sejuk, tayar lori, katil, tilam, sofa, malah motosikal.

Projek mitigasi tersebut merupakan sebahagian usaha holistik di bawah SMG untuk meningkatkan kapasiti Sungai Klang sehingga 40%, selain membaik pulih ekosistem dan menambah baik kualiti air kepada tahap Indeks Kualiti Air (Ika) Kelas III dan ke atas.

Syaiful berkata, projek itu juga menyokong inisiatif Shah Alam Sustainable Urban Drainage (Sasud) serta pembangunan loji rawatan air di Sungai Rasau, dalam usaha menjadikan Sungai Klang sebagai sumber air mentah boleh dirawat menjadi air minuman.

Ketika ini, projek sedang giat dilaksanakan di Shah Alam merangkumi Alam Impian, Seksyen 24, Seksyen 17, dan Kota Kemuning yang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi banjir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.