Samsuri lepas jawatan langkah taktikal untuk cita-cita lebih besar, kata penganalisis

Samsuri lepas jawatan langkah taktikal untuk cita-cita lebih besar, kata penganalisis

Azmi Hassan berkata Ahmad Samsuri Mokhtar mungkin mahu sasar jawatan lebih penting seperti timbalan presiden PAS.

Ahmad Samsuri Mokhtar
Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan yang dipertua PAS Marang yang dipegangnya sejak 2019. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Keputusan Ahmad Samsuri Mokhtar untuk tidak mempertahankan jawatan yang dipertua (YDP) PAS Marang dilihat sebagai langkah taktikal ke arah merebut jawatan lebih tinggi dalam hierarki parti, kata penganalisis politik.

Felo Majlis Professor Negara, Azmi Hassan, berkata tindakan Samsuri melepaskan jawatan yang telah lama dipegang itu bukan sekadar untuk memberi ‘nafas baharu’ kepada PAS Marang sebaliknya mungkin petanda awal terhadap cita-cita politik lebih besar menjelang PRU16.

Azmi Hassan
Azmi Hassan.

“Kemungkinan Samsuri melihat ke hadapan, melepaskan jawatan yang tidak penting dan mencabar jawatan yang lebih penting umpamanya jawatan timbalan presiden PAS itu sendiri.

“Dari satu sudut, ini adalah mesej kepimpinan bahawa yang lama harus turun untuk memberi peluang kepada kepimpinan baru,” katanya kepada FMT.

Semalam media melaporkan Samsuri mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan YDP PAS Marang yang dipegangnya sejak 2019.

Samsuri yang juga menteri besar Terengganu mengumumkan perkara itu dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Marang yang berlangsung di Rusila pada Sabtu.

Katanya, beliau yakin sudah tiba masanya untuk individu lain menyambung perjuangan.

Syaza Shukri
Syaza Shukri.

Sementara itu, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula berpendapat keputusan Samsuri itu mungkin berkait rapat dengan percaturan politik dalaman PAS sendiri.

Syaza berkata, walaupun secara zahir langkah itu dilihat sebagai memberi ruang kepada kepimpinan baharu, ia juga boleh ditafsirkan sebagai reaksi kepada ketidakselesaan sesetengah pihak dalam parti terhadap kedudukan Samsuri.

“Saya rasa Samsuri utamakan kepentingan parti yang mungkin sudah ada suara-suara yang tidak selesa dengan beliau,” katanya.

Syaza turut tidak menolak kemungkinan Samsuri juga tidak mempertahankan jawatan naib presiden PAS dalam pemilihan akan datang, susulan keputusan tersebut.

“Sekiranya suara-suara yang melawan Samsuri makin kuat, ditambah dengan sokongan pemimpin-pemimpin yang lain, mungkin dia tak akan diteruskan sebagai menteri besar.

“Tetapi saya rasa PAS Terengganu akan ok, mungkin boleh jadi PAS Terengganu lebih stabil selepas ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.