
Menteri Fahmi Fadzil berkata, Prime juga adalah usaha Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk membantu pihak termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memastikan kawasan operasi bencana dapat diuruskan dengan capaian komunikasi yang baik.
“Ini bukan hanya untuk petugas tetapi mangsa dan mereka ingin diselamatkan,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran Prime di SKMM.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata Prime adalah sistem komunikasi bersepadu bergerak berasaskan kenderaan dilengkapi teknologi satelit, selular, radio dua hala, WiFi dan dron.
Beliau berkata, pelaksanaan Prime akan memperkukuh kerjasama SKMM dengan pelbagai agensi strategik dalam pengurusan bencana dan kecemasan sekali gus meningkatkan kecekapan tindak balas dan ketahanan komunikasi negara.
Katanya, Prime juga menyokong program jangkauan komuniti seperti Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) sebagai hab digital bergerak yang membolehkan perkhidmatan internet dipamerkan dan aktiviti komuniti dilaksanakan terus di lokasi sasaran.
Menurutnya, sebagai permulaan tiga unit Prime akan dibangunkan secara berperingkat dan yang pertama ditempatkan di ibu pejabat SKMM bagi menyokong operasi di Semenanjung.
“Manakala dua lagi unit akan disiapkan menjelang akhir tahun ini dan ditempatkan di pejabat SKMM di Sabah dan Sarawak,” katanya memaklumkan seunit Prime dibangunkan dengan kos RM1 juta.
Katanya, sebagai permulaan pihaknya akan melihat penambahbaikan boleh dibuat terhadap fungsi yang tidak dimasukkan dalam Prime ketika ini.
“Contohnya dron. Kita lihat boleh mempunyai cara untuk sampaikan dan menerima maklumat dengan meletak mikrofon dan pembesar suara. Mana (mangsa) terperangkap boleh cakap dengan pasukan penyelamat.
“(Kita) akan teliti satu tempoh dan saya akan minta SKMM kaji kesesuaian tambah jumlah unit (Prime),” katanya.
Fahmi juga memaklumkan, unit Prime sedia ada boleh diuji pada Oktober ini terutama di negeri berdepan Monsun Timur Laut.