
Akmal berkata, beliau hadir merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bera mewakili kepimpinan tertinggi dengan mandat jelas daripada Presiden Zahid Hamidi bahawa semua pihak harus ‘tutup buku lama dan buka buku baru demi parti’.
Umno Bera diketuai bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob. Beliau menjadi perdana menteri kesembilan atas kapasiti sebagai naib presiden Umno selama 15 bulan bermula Ogos 2021.
“Nashriq (Ketua Pemuda Umno Bera, Nashriq Ismail Sabri) bagi tahu, Umno Bera disisihkan, hari ini saya ketua Pemuda merangkap sama ‘level’ dengan naib presiden nak bagi tahu, cukup-cukuplah Umno ini perlu disatukan jangan berpecah-belah.
“Khamis lepas presiden datang ke Melaka, saya maklumkan kepada beliau saya nak rasmi Bera, walaupun semua orang tak berani pergi, tak apa saya pergi tapi saya nak tanya apa mandat presiden terhadap Umno Bera.
“Satu sahaja (presiden pesan), Dr Akmal…beritahu (mereka) tutup buku lama, buka buku baru, Umno perlu diteruskan,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian yang dikongsikan di Facebooknya.
Adun Merlimau itu turut memberi peringatan jika Umno lemah akibat perpecahan dalaman, akan ada pihak yang bersorak dan mengambil kesempatan.
“Kalau Umno lemah maka ada golongan yang bertepuk tangan…ini masanya kita tunjukkan solidariti terhadap parti ini,” katanya.
Ogos tahun lalu, Ismail mendedahkan beliau tidak pernah mempunyai sebarang masalah dengan Zahid walaupun ada pihak cuba menggambarkan wujud ketegangan antara mereka.
Malah, Ahli Parlimen Bera itu mengakui rasa hormatnya kepada Zahid selaku presiden mengatasi segalanya walaupun beliau menjadi perdana menteri kesembilan atas kapasiti sebagai naib presiden Umno ketika itu.
Mesyuarat perwakilan Umno bahagian-bahagian bagi seluruh negara bermula 9 Jun dan berakhir 22 Julai ini.